Pages

Jun 11, 2011

cikgu rabun, murid buta


                Bilik pengetua itu sunyi. Seakan tiada orang di dalam ruangan itu. Pengetua meletakkan pennya usai menulis. Diangkatnya cermin mata bingkai keemasan di matanya yang jatuh sedikit. Dia memandang dalam anak murid di hadapannya itu. Setahu dia, Najwa tidak pernah melakukan kesalahan begini. Dia sering sahaja mendengar pujian-pujian dari bibir cikgu-cikgu lain tentang budi bahasa dan kecemerlangannya dalam pelajaran. Tetapi bagaimana boleh ada masalah dengan Ustaz Kadir?
                Sunyi itu harus mati segera. “Najwa, tadi Ustaz Kadir ada mengadu tentang kamu. Sekarang saya nak dengar pula penjelasan daripada kamu,” ujar Cikgu Basri, mematikan sunyi yang mencengkam ruang itu tadi.
                Najwa mengangkat wajahnya perlahan. Raut wajahnya sedikit durja. Dia membetulkan lipatan tudung di kepalanya sebelum memulakan sebarang bicara. “Saya cuma bertanya, cikgu. Saya tak nampak di mana salahnya jika bertanya. Kebetulan Ustaz Kadir yang mengajar kami kelas Pendidikan Islam. Selain ustaz, kepada siapa lagi saya mahu bertanya?” Akhirnya Najwa bersuara juga. Dia kembali tunduk. Murung.
                “Baiklah. Boleh saya tahu apa yang kamu tanyakan pada ustaz?” Pengetua cuba bertoleransi. Dia bukan seorang yang terburu-buru menjatuhkan hukuman. Pengalamannya sebagai seorang guru sudah terlalu lama. Baik guru-guru mahupun pelajar, sudah dia masak akan perangai mereka. Menghukum terburu-buru itu buruk padahnya.
                Najwa mendongak semula. Tanpa berdalih, dia mengajukan soalan yang sama, seperti yang telah diajukan kepada ustaz Kadir, “saya musykil, kenapa kita haram memegang anjing? Sedangkan saya tak nampak mudarat pegang anjing itu sendiri, cikgu. Kalau kita mahu katakan bahawa kerana kuman, binatang apa yang tiada kuman? Jadi, takkanlah agama kita hanya mengharamkan membabi buta?” butir-butir yang laju keluar dari bibir mungil Najwa itu dihadam Cikgu Basri. Benar apa yang diceritakan oleh Najwa. Ustaz Kadir juga memberitahu perkara yang sama, cuma berbeza gaya ceritanya. Ustaz Kadir bilang dia bertanya, tetapi tidak menerima jawapannya, seakan mahu menghina dia. Cikgu Basri agak sangsi lalu mengambil keputusan untuk bertanya kepada dua-dua belah pihak.
                “Apa jawapan dia? Katanya kamu mempersoalkan jawapan dia. Betul ke,?” soal Cikgu Basri lagi. Dia mahu menilai sendiri apa yang diceritakan oleh Ustaz Kadir. Soalan itu agak aneh, sebenarnya. Masakan dia tidak boleh menerima jawapan ustaz itu? Dan kenapa pelajar seusia 16 tahun masih mempersoalkan perkara remeh sebegini?
                “Cikgu, mungkin cikgu pelik dengan soalan saya, kan? Ya, saya dah besar. Kerana saya dah besarlah saya hairan. Takkanlah kita sebagai seorang penuntut agama hanya membuta tuli menurut sahaja tanpa bukti. Mungkin aneh kalau saya bertanya begitu. Pada orang lain, mungkin itu soalan yang remeh. Tapi tidak pada saya. Saya bukan dari keluarga yang betul-betul beragama. Mama dan papa saya sendiri tidak mengendahkan tentang sembahyang, apatah lagi perkara kecil sebegini. Maka di sekolahlah tempat untuk saya bertanya, tempat untuk saya belajar perkara baru. Soalan saya mungkin ringkas, tetapi dengan jawapan itu saya akan lebih jelas, bukan buta-buta menganut agama tanpa tahu asal-usul suruhannya. Kalau benar suruhan Allah itu berhikmah, mana hikmahnya? Saya bukan mempersoalkan tuhan, tapi saya cuma mahu tahu, dan kerana itu saya bertanya pada Ustaz Kadir. Tidak pasal-pasal saya dimarah pula,” panjang lebar dia meluahkan. Seakan bisa membaca raut wajah Cikgu Basri yang merenungnya aneh sebentar tadi.
                “Kamu masih belum menjawab soalan saya, apa jawapan yang diberikan oleh ustaz?” Cikgu Basri bertanya sekali lagi, dengan nada yang lebih perlahan. Dia tak mahu memanaskan lagi keadaan yang sudah sedia berbahang.



                Najwa merenung lantai. “Katanya, kerana Allah suruh. Suruhan Allah itu berhikmah. Sahabat-sahabat dahulu tidak pernah bertanya itu dan ini mereka hanya menurut apa yang diperintahkan. Lantas ditanya kepada saya, apakah saya tidak mempercayai suruhan tuhan? Kalau saya tidak percaya, goyahlah aqidah saya.  Butalah hati saya. Rosaklah pegangan saya.” Bilik khali sebentar. Dia menyambung, “tapi saya bertanya lagi, apa hikmahnya ustaz? Apa hinanya anjing sehingga begitu sekali kedudukannya di dalam Islam? Ustaz melenting, marah-marah lalu keluar dari kelas segera.” Dia mematikan cerita di situ. Wajahnya masih belum diangkat. Dia bukan sedih. Mungkin bengang agaknya.  Seolah-olah rasa ingin tahu buat seorang yang jahil sepertinya itu salah.
                Cikgu Basri menarik nafas dalam. Bertanya itu bukan salah Najwa. Intuisi ingin tahu itu memang tinggi dalam diri mereka. Tambahan pula, mereka hanya pelajar sekolah biasa, bukan sekolah agama. Rasa ingin tahu yang tinggu sebegitu cukup bagus sebenarnya. Tapi, masalah timbul jika yang memberikan jawapan tidak kena caranya.
                Dia memandang Najwa. “Najwa, kamu pelajar yang bagus. Bukan salah kamu jika kamu ingin tahu. Ya, soalan itu mungkin remeh. Tapi jika kamu betul-betul mahu tahu, maka tiada apa yang patut dipandang enteng. Islam itu harus difahami sepenuhnya. Benar, banyak bertanya itu tidak bagus. Sama seperti kaum bani Israel yang banyak bertanya, seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran. Tapi itu tidak bermakna Islam menghalang umatnya dari mengkaji. Malah mengkaji itu amat digalakkan di dalam Islam. Kamu pasti tahu bahawa ramai tokoh-tokoh ilmuwan yang lahir pada zaman ketamadunan Islam. Jika mereka tidak mengkaji, masakan hasil-hasil kajian mereka boleh tersebar, bukan? Saya juga tidak mahu menyalahkan Ustaz Kadir, walaupun pada pendapat saya jawapan dia tetap salah,” Najwa mula mengangkat kepala. Cikgu Basri menelan liur sebentar.
                Dia menyambung lagi, “Biar saya saja yang memberikan jawapan persoalan kamu itu. InsyaAllah saya akan menjawabnya dengan kemampuan ilmu saya.” Najwa senyum. Soalannya diterima jua akhirnya.
                “Anjing sebenarnya tidak haram dipegang. Anjing dan babi tidak haram dipegang. Tetapi jika kita tersentuh, maka wajiblah disamak. Lainlah kamu makan, memanglah haram. Malah ada yang lebih hina dari memegang anjing. Jika kamu sengaja menyentuh orang yang bukan muhrim, maka itu haram. Jadi, menyentuh orang yang bukan muhrim lebih hina dari menyentuh anjing dan babi.  Hukum memegang anjing dan babi bukan sekadar di situ. Jika kamu memegang bulu anijng yang kering, tiada masalah. Kamu tidak perlu untuk menmbersihkan tangan kamu dengan air tanah. Cuma, ya, jika kamu tersentuh bulu yang basah, ataupun daging anjing, maka kamu diwajibkan samak.  Mungkin dalam sesetengah mazhab, perkara ini berbeza. Mungkin ada yang lebih keras, mungkin ada yang lebih lembut. Tapi saya mahu kamu tahu, bahawa hukum memegang anjing itu bukan sekadar ‘haram’ begitu saja. Memegang anjing tidak haram, tetapi wajib samak. Kedudukan anjing di dalam Islam bukanlah hina. Pernah mendengar cerita Ashabul Kahfi? Bukankah ada anjing sekali yang menemani mereka? Nah, cerita bersejarah ini tidak perlu ada kalau anjing itu hina di sisi Islam. Cuma, Islam mewajibkan umatnya bersamak jika tersentuh atas beberapa sebab. Saya sendiri kurang arif tentang perkara ini. Mungkin ada kuman yang tidak dapat diatasi oleh antibody dalam badan kita. Tambahan pula, anjing tidak boleh berpeluh, kan? Mungkin kemungkinan bacteria di badan anjing itu lebih tinggi.  Jelas?” huraian Cikgu basri diakhiri dengan seulas senyuman. Najwa membalas senyuman pengetua itu. Dia angguk perlahan dan meminta kebenaran untuk keluar ke kelas. Cikgu Basri memberi kebenaran dan mendoakan kejayaan Najwa. Najwa berlalu dengan gembira.
                Cikgu basri membuka cermin mata. Dia lega kerana boleh memuaskan hati Najwa. Setidak-tidaknya, pegangannya pada Islam semakin utuh, mungkin. Dia bukan menjawab soalan Najwa semata-mata kerana anjing. Dia mahu pelajarnya tahu bahawa Islam tidak menghalang umatnya mengkaji, Islam juga tidak mahu umatnya menjadi pengikut ‘buta’ semata-mata, kelak mereka akan merasakan agama itu nonsense dan lari dari agama itu sendiri.
                Cikgu yang mencorak pelajarnya. Moga dia mencorak Najwa dan yang lain dengan betul tanpa cacat cela.

mohon dibetulkan andai ada salah silap dalam fiqh ataupun mana2 salah fakta yang lain. saya hanya seorang hamba yang lemah.
cerpen ini juga diterbitkan di fikrahislam.
wallahua'lam.

6 comments:

Anonymous said...

thumbs up :)
doakn aku arini.. written physio..huhu

Amalina Abu Hanifah said...

alahai ustaz kadir.garangnya kamuuuuuuuu

Aisyah Sophia. said...

best :) dah banyak improve ( bajet mcm pro bidang penulisan je) he3

anissnaadia said...

bukan samak tu untuk kulit binatang ke ? kalau anjing dengan babi kita panggil sertu ? cuma pertanyaan.

fikrahuddin said...

nedd: betul tu. tapi sebab orang paham sertu tu as 'samak', so aku prefer guna perkataan samak.
namalah ape2 pun janji buat tu betul. huhu

Muhammad Ameen said...

best2.. wat lg cerpen2 gini :D