Pages

Jan 5, 2017

Arus Globalisasi: Hanyutkah kita dalam keselesaan?

Globalisasi bermaksud suatu proses penghapusan atau pengabaian pada sempadan, justeru menjadikan masyarakat di seluruh dunia sebagai satu komuniti mega tanpa dibatasi sebarang sempadan.

Kamus Dewan mendefinisikan globalisasi sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat.

Secara ringkasnya, proses globalisasi wujud adalah supaya penyebaran maklumat dan ilmu pengetahuan boleh berlaku tanpa kekangan, dan proses ini dibantu pula oleh perkembangan teknologi. Globalisasi boleh dilihat dari pelbagai aspek, antaranya pendidikan, ekonomi, politik, sosio-budaya, dan ideologi.

Globalisasi juga merujuk kepada perpindahan nilai terutamanya cara berfikir dan gaya bertindak dari satu daerah dunia kepada daerah dunia yang lain. Globalisasi yang diberi erti luas ini adalah suatu hakikat yang tidak dapat dipertikaikan. Hakikatnya globalisasi itu sudah wujud sebelum istilah ini diperkenalkan lagi. Fenomena globalisasi boleh dikiaskan sebagai gelombang yang melanda dunia. Lodge (1993) mendefnisikan globalisasi sebagai:



"...a process forced by global flows of people, information, trade and capital. It is accelerated by technology which is driven by only a few hundred multinational corporations and may be harmful to the environment. There in lies the conundrum of wether it is wise to leave globalization in the hands of these few corporations, or might it not make more sense to seek greater involvement from the global community."


Globalisasi dalam lipatan sejarah

Sejak azali lagi, proses globalisasi  sudah bermula. Perkongsian ilmu pengetahuan serta budaya dari berbagai latar belakang, selain boleh mematangkan manusia, proses ini juga seringkali membuahkan hasil kerja yang lebih efisien dan rasional.

Lihat sahaja di dalam lipatan sirah baginda SAW. Ketika peristiwa perang Khandaq, Rasulullah serta para sahabat teruja lantas bersetuju dengan cadangan Salman Al-Farisi supaya dibina parit di sekeliling kota Madinah. Strategi ini tidak pernah terlintas di akal mereka, kerana ini bukan adat di tanah Arab. Tetapi, bagi Salman yang berasal dari Parsi, strategi tersebut adalah taktik klasik yang seringkali digunakan ketika peperangan.

Arus globalisasi bertambah deras dari sehari ke sehari. Proses globalisasi berkembang secara tidak langsung dengan adanya Silk Road, import dan eksport barang dari serata dunia, dan juga penaklukan kawasan ketika peperangan berlangsung.

Hari ini, tidak janggal lagi jika seorang Melayu boleh bertutur dalam bahasa Perancis, Inggeris, juga Korea. Tidak lagi kelihatan aneh melihat muka-muka Asia di barat.

Jangan lupa pula proses asimilasi ilmu antara tamadun ketika zaman pencerahan di Eropah. Para ilmuan Islam mengkaji karya-karya agung Barat, ahli falsafah mereka juga mengkaji dan menterjemah karya-karya ilmuwan Islam ketika itu.

Semua ini adalah proses globalisasi.

Contoh Proses Globalisasi

1. Westernization: suatu proses pembawaan, penerimaan serta adaptasi budaya-budaya dari barat, Amerika khususnya, ke dalam satu-satu masyarakat.

Contoh: Era Meiji dan Mustafa Kamal Attartuk

2. Multilingualism dan penggunaan lingua franca: hari ini kebanyakan daripada kita boleh berbahasa lebih dari satu bahasa. Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa utama di intenet, contohnya.

3. Kerjasama antarabangsa: kerjasama ketenteraan seperti NATO, Strategic Arms Reduction Treaty (START) dan kerjasama untuk perlindungan alam sekitar, seperti persetujuan dalam mengurangkan penggunaan CFC (Montreal Protocol).

Kesan Arus Globalisasi

Pada tahun 1998, sebuah kajian mendapati bahawa nisbah mereka yang memandang globalisasi sebagai satu usaha yang negatif adalah nisbah dua kepada satu. Akan tetapi, masih ramai juga yang mempercayai bahawa globalisasi mampu membawa lebih banyak kesan positif kepada masyarakat. Impak yang paling besar pastilahh dari aspek ekonomi. Perdagangan bebas memberi peluang kepada banyak syarikat untuk mengembangkan lagi pasaran mereka, dan secara langsung membuka banyak peluang pekerjaan. Kerjasama antara syarikat luar dan dalam negara, seperti kerjasama syarikat telekomunikasi, bukan sahaja menaikkan serta menguntungkan mereka, malah khidmat mereka juga memudahkan pengguna.

Dari aspek budaya pula, asimilasi dan penggabungan berbagai budaya dari serata dunia boleh mendatangkan kesan positif juga negatif. Dasar Pandang ke Timur contohnya, adalah idea yang bernas. Proses pembaratan pula, walaupun sering dilihat dari sudut yang menjengkelkan, tidak dapat dinafikan  bahawa kadang kala masyarakat mereka lebih beradab dan bertamadun dari kita.

Begitu juga dengan penyebaran ideologi. Semangat menentang penjajah yang dibawa oleh Jamaluddin Al-Afghani akhirnya sampai ke tanahair kita dan membuka ruang-ruang kesedaran untuk menentang penjajah. Pergolakan yang berlaku di Tunisia pula mencetuskan kesedaran pada negara-negara lain justeru berlakunya domino-effect di dalam Arab Spring.

Tetapi hakikatnya, globalisasi juga membawa padah yang tersendiri. Penyebaran maklumat yang terlalu pantas menyebabkan berita-berita palsu mudah disebarkan, lantas melahirkan generasi pseudo-intelligent. Bacaan sekerat-sekerat di laman Facebook, aplikasi Whatsapp dan sebagainya, tidak memberi faedah kepada masyarakat, bahkan seringkali akhirnya hanya mencipta komuniti yang sering prejudis dan cepat menghukum.
Hanyutkah kita dalam keselesaan?

Arus globalisasi hari ini dipercepatkan oleh perkembangan teknologi yang terlalu pesat. Perkembangan teknologi ini memungkinkan ledakan maklumat yang meluas. Teknologi, yang pada asalnya adalah untuk memudahkan kerja manusia, akhirnya melekakan.

Telefon pintar contohnya. Walaupun telefon pintar mampu mendekatkan yang jauh, tetapi dalam masa yang sama juga telah menjauhkan yang dekat. Ibu bapa tidak lagi ambil kisah pada anak-anak, kawan tidak lagi berbual dengan kawan yang ada di hadapan mereka, masa banyak dibuang menghadap skrin bersaiz 5 inci di hadapan muka.

Medium berhubung utama mutakhir ini, Facebook, digunakan untuk menagih like dan populariti. Privasi kita dibogelkan dengan sukarela. Wahana yang boleh menghubungkan silaturrahmi akhirnya membawa pergaduhan dan perpecahan. 

Arus globalisasi (atau perkembangan teknologi) menjadikan manusia lebih selesa. Minda yang tidak dihimpit stress, badan yang tidak dibebankan akan menghasilkan hidup yang produktif dan berkualiti. Tetapi keselesaan ini apabila tidak dikawal akhirnya menjerumuskan kita ke dalam dunia ignoran.

Benar, dua minit setelah Palestin dibom, kita sudah mendapat khabar berita. Masyarakat jadi lebih cakna akan isu-isu semasa.

Tetapi akhirnya isu-isu ini tenggelam sepantas dua saat juga. Tiada tindakan signifikan dari kita usai mengetahui perkara tersebut. Sekadar menyumbang seringgit dua, berkongsi cerita di Facebook, menghadiri ceramah 'Solidariti Palestin', berswafoto, tetapi di hati kita tiada langsung cita-cita untuk ke Palestin membantu. Jika ada sekalipun, itu bukan cita-cita, sebaliknya angan-angan yang hangat-hangat tahi ayam sahaja. Tiada usaha sebenar untuk merealisasikannya. Cakna kita hanya untuk tontonan duniam tidak lebih dari itu. Masyarakat kini malas untuk memberi solusi yang kekal, kerana kita adalah generasi makanan segera. Makan makanan segera, mengambil maklumat dari sumber segera, sumbangan kita juga adalah bertaraf mi segera.

Jadi di dalam dunia yang menggalakkan proses globalisasi ini, dengan ledakan maklumat dan perkembangan teknologi yang pesat, sepatutnya menjadikan kita masyarakat yang bertamadun, produktif dan efisien.

Akan tetapi, hanyutkan kita dalam keselesaan?


*** 

Ini aku tulis dua tahun lepas rasanya, untuk simposium mahasiswa mesir. Bila compare dengan kompilasi kertas kerja dari panel lain, rasa macam sampah yang ni. Mungkin memang sampah pun. Tapi saja mengada nak share. Ni taip balik ni! Gigih tak gigih wei.