Pages

Dec 4, 2016

Cerpen: Lalu merdeka itu apa?




“Terima kasih,” pelayan muda berbaju lusuh itu berlalu sambil tersenyum. Teh pekat itu cuba aku hirup. “Ah, masih terlalu panas,” gumamku sendirian. Aku biarkan seketika sebelum dihirup semula. Wap panas yang asyik menari-nari di atas gelas mengaburkan cermin mataku. Lantas aku biarkan lagi air teh itu supaya lebih sejuk.
                Jam di tangan kiriku menunjukkan tepat pukul 8.30 pagi. Rutin harianku untuk minum pagi berdekatan dengan universiti sebelum ke kelas adalah wajib. Inilah masanya untuk aku membaca buku, atau mengasah minda. Ya, mengasah minda dengan perbualan. Perbualan bersama teman ‘debat’ku.
                Dari jauh, sayup kelihatan kelibat Ajai berjalan santai ke arahku. Tangan kanannya memegang beg sandang, tangan kirinya lenggang ke depan dan ke belakang. Dari jauh dia senyum kepadaku sambil melambai tangan kirinya. Aku membalas dengan senyuman. Buku yang baru ku buka, ditutup semula. Hari ini perbualan kami akan bermula lebih awal dari biasa nampaknya.
                “Assalamualaikum,” aku memberi salam usai dia tiba di mejaku. Dia menjawab sambil menarik kerusi di hadapanku untuk duduk. Pelayan muda tadi bergegas ke meja kami untuk mengambil pesanan. Kedai masih lengang. Hanya meja kami dan meja di hadapan kami saja yang berpenghuni. Pelayan tadi ligat menulis pesanan. Seperti biasa, nescafe kurang gula adalah minuman rutin buat Ajai.
                Aku suka berpagi-pagi di sini. Suasana hening yang menyapa mesra, universiti terasa aman seketika, sebelum hiruk pikuk manusia menerjah masuk, berpusu-pusu menuju ke kelas masing-masing. Pokok rendang tempat meja kami berteduh sesekali menggugurkan daun kuning. Musim luruh sudah tiba. Dan pagi-pagi beginilah selalunya aku dan Ajai akan bertemu.
                “Tak habis lagi kau baca buku tu?” soal Ajai. Buku putih di atas meja menjadi pemula bicara. Buku Muqaddimah, karya Ibnu Khaldun yang sudah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris masih lagi belum habis kubaca walaupun sudah dua minggu. Buku itu akan segera aku habiskan.
Ajai mencapai kotak rokok di poket seluar. Sebatang rokok dikeluarkan dan sebelum dinyalakan, dia memandang ke arah aku. “Aku hisap, ya,” seolah-olah meminta kebenaran aku. Tabiat merokoknya tidak menghalang Ajai menjadi manusia yang bertimbang rasa. Malah, kadang-kadang perokok seperti dia lebih baik dari aku (tapi tidaklah aku bersetuju dengan tabiatnya itu).
Khali mengisi kekosongan. Aku capai telefon bimbit dan membuka aplikasi Facebook. Sedang asyik membelek, Ajai mengetuk meja memanggil aku. “Oi, kau tengok apa tu? Janganlah belek telefon kalau sedang melepak.” Aku hanya tersengih dan menyimpan semula telefon bimbitku ke dalam poket.
Sorry. Tengok kau syok sangat hisap asap, ingat tak mahu berborak,” giliran aku pula memerli. Dia mencebikkan muka, malas melayan.
“Tadi aku baca isu di Perancis. Tak habis-habis lagi isu di Perancis,” teh di atas meja dihirup lagi. Tiada lagi asap yang menari di atas cawan. Manis dan pekat. Teh Arusah memang padu.
“Isu apa lagi di Perancis?” dahi Ajai berkerut. Asap keluar berkepul dari mulutnya. Dia menoleh ke kiri supaya hembusan asap tidak terbang ke arahku.
Aku mencapai semula telefon bimbit di poket. “Nah, lihat ni. Polis menahan wanita di pantai kerana memakai ‘Burkini’. Kau tahu kan, Burkini tu apa?” tanpa menunggu respon dari Ajai, aku memandang tepat ke mukanya dan menyambung, “Burkini ni pakaian wanita Muslim untuk bersukan. Seingat aku, mula direka di Australia oleh seorang wanita Muslim di sana bernama Aheda Zanetti. Rekaannya yang menutup bahagian-bahagian yang perlu dijaga oleh muslimah tetapi tidak ada pada baju berenang yang biasa bolehlah dikatakan revolusi. Dengan memakainya, wanita muslim tiada halangan untuk bersukan.”
“Aneh,” balas Ajai. “Kau bersetuju dengan pemakaian Burkini? Bukan calon isteri kau harus bertudung labuh? Burkini bukan menampakkan bentuk tubuh ke?” senyuman kecil mengakhiri ayat komennya. Aku tak pasti adakah itu sekadar gurauan Ajai, atau soalan sebenar.
“Aku pun tak pasti adakah betul Burkini ini mematuhi syariat. Iyalah, aku ni bukanlah arif dalam bidang tersebut. Sudahlah panggilannya seperti campuran ‘bikini’ dan ‘burqa’, aneh, dan tak dapat aku nafikan, sedikit offensive. Tapi, tolak ketepilah sebentar hal itu. Sekurang-kurangnya ia adalah satu penambahbaikan dan usaha untuk menutup aurat. Yang mengkhuatirkan aku ialah Islamophobia yang tampak berleluasa di Perancis, lebih-lebih lagi selepas beberapa siri serangan pengganas di Perancis tempohari.”
Kami diam sejenak. Ajai menghisap dalam sebelum menghembuskan asap kembali. “Kenapa sekarang baru kau pelik? Tidak silap aku, Perancis sudah mengharamkan pemakaian Burqa sejak lima tahun lalu. Tak pernah pula aku dengar kau bising.”
“Bukan aku tak tahu,” aku membetulkan duduk. “Itu pun satu bentuk pencabulan hak asasi.  Apa salahnya kalau mereka ingin bertudung, jika melepaskan rambut juga adalah satu pilihan? Penindasan terhadap kaum Islam sebegini semakin menjadi-jadi. Sebenarnya mereka ini takut perubahan. Toleransi mereka yang kurang. Syukur saja negara kita tidak begitu. Semua pihak sama-sama hidup dalam toleransi. Merdeka!” suaraku separuh menjerit dalam nada berseloroh. Sekali sekala menjerit merdeka di bulan Ogos, seronok juga. Terasa kena dengan tema.
Ajai ketawa. Hisap. Hembus. “Kau ingat di Malaysia tiada ke situasi seperti di Perancis? Kau lupa, bagaimana ‘autoriti’ agama negara kita mendesak mereka yang bukan Islam untuk bertudung supaya menghormati bulan Ramadhan? Bagaimana pula dengan larangan menggunakan nama ‘Allah’?  Itu belum lagi aku sentuh bagaimana sukarnya proses permohonan mendirikan pusat ibadah mereka.” Rokok disedut untuk kali yang terakhir, lalu dimatikan di dalam bekas abu rokok. Soalan retorik yang bertubi-tubi dari Ajai aku diamkan saja.
Dia menyambung lagi, “Di Malaysia, bagi aku, malah lebih teruk daripada negara barat. Kita tiada kebebasan bersuara. Kongkongan yang nyata, yang bezanya dengan zaman sebelum merdeka adalah sekarang kita ditindas oleh orang kita sendiri. Tak perlu baca Animal Farm, lihat saja negara kita sendiri. Agaknya kalau terjemahan buku itu wujud di Malaysia, habis diharamkan. Pastinya ‘mereka’ terasa seperti di-khinzir-kan,” Ajai sengih. Memang peminat Orwell dia ni.
Aku masih diam. Aku tidak berniat menjawab persoalan-persoalan yang dilontarkan tadi. Persoalan retorik yang tak perlu dijawab.
Sisa air teh di dalam cawan aku habiskan. 15 minit sudah berlalu. Manusia kian ramai. Masing-masing berjalan pantas sambil menyandang beg. Ramai juga yang memeluk buku-buku mereka di tangan. Masing-masing berasak-asak menuju ke destinasi. 15 minit lagi kelas akan bermula. Pelayan berbaju lusuh sibuk mengambil pesanan dari orang-orang yang baru datang.
“Demokrasi negara kita aneh. Berbelit-belit dengan sentimen agama. Tidak bebas bersuara. Kita tidak bebas, Din. Tiada apa yang mahu disorakkan. Laungan ‘merdeka’ kau tadi aku rasa kosong. Kita bebas dari cengkaman penjajah, tapi bebaskah kita sekarang? Bebaskah rakyat Malaysia dari hutang? Kemiskinan? Bebaskah kerajaan kita dari salah guna kuasa? Rasuah? Bebaskah penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing dengan aman? Bebaskah negara kita dari sentimen perkauman? Berapa banyak anak yatim dan miskin di Malaysia yang tidak mendapat pendidikan yang sempurna? Kita seolah-olah bebas dari realiti, tapi terperangkap dalam ilusi.”
“Kau terlalu skeptik dengan masyarakat kita, Jai. Kerana sesetengah pihak yang suka ‘menunggang’ agama, kau mahu buang terus agama dari sistem pemerintahan negara? Adakah dengan menjadikan negara kita sekular, negara kita akan lebih aman, stabil? Aku tak nampak mana logiknya. Amankah Amerika Syarikat di mata kau, Jai?”
“Din, kau, seperti ramai rakyat Malaysia yang lain, terlalu takut dengan terma sekular. Kau menganggap jika aku pro-sekular, bermakna aku anti-agama. Sekular yang aku maksudkan adalah undang-undang negara kita tidak terikat atau didefinisikan oleh satu-satu agama saja, tetapi membawa nilai dan moral yang lebih menyeluruh dan dipersetujui oleh majoriti. Undang-undang akan berubah mengikut peredaran zaman. Bagi aku, sistem sebegini tidaklah anti-agama, atau anti-theistic. Sebaliknya, cara begini lebih meraikan semua pihak.”
Ajai menambah lagi, “Proses sekularisasi yang terkenal dahulu memang memisahkan kuasa negara dan gereja. Tetapi bukan bermakna mereka menolak agama sepenuhnya. Mereka memisahkan autoriti agama dari pemerintahan negara supaya undang-undang dapat dilaksanakan dengan lebih objektif. Proses sekularisasi bukanlah ‘membuang’ agama, tetapi tidak mencampurkan pengaruh agama dalam asas undang-undang. Kita sekarang menganggap apa-apa saja yang tiada kaitan dengan agama, adalah sekular. Dari satu perspektif, ya. Tetapi sekularisasi tidaklah semudah itu.”
Serasa baki lima minit sebelum aku harus ke kelas tidak cukup untuk menyambung perbualan ini. “Jadi kalau begitu, secara andaian, apa saranan kau? Dengan membina undang-undang negara yang tiada struktur agama, taat setia kita jatuh pada ibu pertiwi semata? Menjadi warganegara yang sempurna? Biarkan kompas moral kita menuruti apa saja kemahuan negara?” sekejap-sekejap aku mengintai jam di tangan. Masih ada masa.
“Harus kau ingat, Aristotle memisahkan antara good citizen dan good man. Menjadi warganegara yang sempurna memang ada pincangnya. Menjadi rakyat yang taat di zaman Hitler juga dianggap sebagai warganegara yang bagus, walaupun tidak dianggap sebegitu andai kau berada di negara lain. Tetapi tidak kalau menjadi manusia yang baik. Good man tidak bersifat relatif.” Selamba Ajai menjawab kembali.
“Lantas, apa kompas moral seorang manusia yang baik? Kalau bukan agama, apa? Senarai undang-undang yang dipersetujui manusia? Kalau begitu, seolah-olah mereka itulah ‘tuhan’ kita. Bukan begitu?” soalan retorik terakhir daripada aku, mungkin. Jam di tangan membuatkan aku sedikit kaget. Sudah jam sembilan.
Air nescafe yang berbaki di dalam cawan Ajai habis dihirup. Kami sama-sama bangun membayar air yang diminum, secawan seorang (selama 30 minit!). Kami bersalaman dan berpisah arah. Aku ke kelas General Surgery, dan dia pula tergesa-gesa ke kelas Gynecology yang bangunannya sedikit jauh dari kedai tadi. Sambil melangkah, akal aku ligat memikirkan seputar topik yang dibualkan tadi. Macam berbual dengan orang sekular pula. Tapi takkanlah Ajai sekular? Benarkah negara sekular lebih baik? Aku pernah juga mendengar bahawa muslim yang berada di negara sekular lebih aman dan selesa mengamalkan kepercayaan yang mereka anuti berbanding di negara Islam. Betapa ironi, orang Islam sendiri merasa terkongkong di ‘negara Islam’. Tapi, itu mungkin berita lama. Jika dilihat berita-berita antarabangsa, Islamophobia semakin menjadi-jadi, ditambah pula dengan pencalonan Donald Trump oleh Parti Republikan yang sangat agresif dengan Muslim. Entahlah. Dunia ini aneh bagiku.

****
“Aaaaahhhhhhhh…” tanganku menutup mulutku yang menguap besar. Satu konklusi ringkas bagaimana kelas tadi berjalan. Padat dan tepu. Bukanlah aku tidak menggemari Surgery, tetapi hatiku masih lagi merindui Internal Medicine, subjek tahun lalu.
“Din, jom makan!” jerit temanku dari belakang. Hassan, hobinya memang makan saja. Mujur dia rajin memasak di rumah. Sengihnya itu meruntun hatiku. Dalam kantuk dan separa terpaksa, aku bersetuju.
Sebagai seorang yang menetap di Zagazig, kami jarang menikmati krib. Krib, atau ejaan yang lebih tepat - crepe, adalah antara makanan yang sangat terkenal di Zagazig. Selalunya aku hanya akan ke kedai Krib King apabila membawa tetamu yang datang dari serata pelosok Mesir, dan mengidam krib yang mantap dan tebal. Di Kaherah misalnya, bukanlah tiada krib. Tetapi jika hendak dibandingkan dengan krib di Zagazig, maaflah, tiada taranya!
Entah mengapa selera si Hassan ini mahu ke restoran Krib King di tengah bandar. Mungkin kerana kedai tersebut kebetulan berada di laluan perjalanan pulang kami ke rumah, mungkin juga kerana dia sudah terlalu lapar dan krib menjamin kepantasan dan kekenyangan. Sesampainya di sana, aku terlihat Ajai yang sedang duduk seorang diri di Kedai Krib yang sepi dari pelanggan. Kotak rokok dan telefon bimbitnya di atas meja. Kedai makan begini kebiasaannya dipenuhi orang pada waktu malam.
Aku menyapa Ajai sambil Hassan memberi pesanan makanan di kaunter. “Kenapa jauh sangat kau datang makan ni?” soalku sambil menarik kerusi untuk duduk.
“Tiba-tiba mengidam hari ni. Kebetulan kelas habis awal tadi. Aku pun berjalanlah ke sini,” ujar Ajai bersahaja.
Hassan dengan sengih lebarnya mampir ke meja kami. “Kau buat apa di sini? Tak pernah pula aku nampak kau makan di sini,” soal Hassan pula.
“Eh, dah perut aku kata nak makan krib, maka ke marilah kaki aku berjalan,” Hassan hanya menggaru kepala mendengar jawapan si Ajai. Sengihnya masih tak lekang.
“Jai,” Ajai menoleh dan memandang ke arahku. “Aku masih menunggu jawapan kau pagi tadi.”
“Jawapan apa?” dahinya berkerut.
“Ish kau ni. Pagi tadi, kau berhujah seolah-olah mempersetujui apa yang dikatakan oleh Aristotle, tentang menjadi seorang manusia yang baik. Lalu aku persoalkan pula apakah kayu ukur kebaikan untuk manusia yang baik itu? Ingat?” Ajai hanya menggaru-garu dagunya.
“Apa yang kalian bualkan?” tiba-tiba Hassan menyampuk.
Ajai menjelaskan kepada Hassan, “Good citizen dan good man. Kau pernah dengar? Aristotle memisahkan dua jenis kebaikan, satunya pada warganegara, iaitu warganegara  yang baik atau sempurna. Yang kedua, pada manusia atau individu itu sendiri; manusia yang baik.”
Hassan mengangguk perlahan sambil dahinya berkerut. “Jadi apa bezanya?”
“Begini. Warganegara yang baik adalah warganegara yang taat dan patuh setia pada suatu negara, biar apa pun polisinya dan mematuhi segala peraturannya.”
“Tapi kalau negara tu teruk?” sampuk Hassan.
“Maka kepada yang buruklah tumpah setianya. Tetapi itu bukan satu masalah. Kerana yang dilihat dalam warganegara yang sempurna adalah taat setianya, bukan moral atau nilai peribadinya. Jadi, warganegara yang baik pada satu-satu negara, tidak semestinya diterima pula di negara lain. Mengerti?”
Hassan mengangguk lagi. “Mengerti, mengerti. Macam Indonesia pula kau ni,” jenakanya dibalas siku oleh Ajai. Hassan mengaduh lalu ketawa kecil.
Sambung Ajai lagi, “Berbeza pula dengan manusia yang baik. Manusia yang baik bukan hanya taat pada negara, tetapi punya kebaikan yang sebenar di dalam dirinya. Manusia yang berlaku adil, dan menjalankan tugas yang baik sebagai individu atau sebagai sebahagian dari masyarakat yang didiaminya. Kata Aristotle, kebaikan sejati ini atau ‘virtue’ bukanlah lakonan, tetapi perangai kebiasaan, dalam menjalani kehidupan sehariannya sebagaimana fitrahnya. Persamaan pada keduanya hanya ada jika mereka ditadbir oleh kerajaan yang baik, maka keduanya akan taat dan itu dianggap baik.”
“Di sini aku kurang mengerti,” aku mencelah pula. Penekanan pada kalimah ‘mengerti’ memecahkan tawa mereka berdua. “Apakah sifat kebaikan sejati bagi Aristotle? Bukankah para filasuf seperti mereka ini hanya menganggap signifikan agama sebagai suatu struktur masyarakat semata? Kalau seperti yang kau katakan sebelum ini, kita menggunakan undang-undang yang mencakupi kebaikan dari semua pihak dan dipersetujui oleh majoriti, bagaimana pula kalau majoriti tersebut memilih suatu kemudaratan? Sebagai contoh, adakah kerana majoriti di barat percaya bahawa golongan transgender benar kerana mereka layak untuk bersuara dan punya hak ke atas jasad masing-masing, maka kita semua harus terima bahawa transgender bukanlah satu bentuk kezaliman? Bagaimana kalau suatu hari nanti mereka menganggap pedophilia bukan lagi satu jenayah?”
“Er, kezaliman? Kepada siapa mereka berlaku zalim?” soal Hassan.
“Kepada diri mereka sendiri,” jawapanku ringkas. Semua diam.
“Nah, di dalam Islam, perkara sebegini akan dipersoalkan. Kerana Islam tidak membenarkan kezaliman, biarpun terhadap diri sendiri. Berbeza dengan perangai Barat yang tidak malu meminum arak dan membunuh diri.”
“Jadi, kau tak bersetuju bahawa kita harus memisahkan pengaruh agama Islam di dalam sistem pemerintahan dan undang-undang negara kita, walaupun ada bukti menunjukkan negara sekular lebih aman dari negara yang menjadikan agama sebagai paksi negaranya?” soal Ajai kepadaku. Hassan terlopong kecil kerana baru memahami konteks perbualan kami.
Krib Ajai akhirnya tiba bersama pesanan kami. Tangan Hassan perlahan-lahan ke tengah meja, mencapai krib miliknya. “Aku makan dulu, ya,” ujarnya sambil tersengih.
Aku dan Ajai membiarkan dahulu krib kami tersadai di atas meja. “Ya, masyarakat dunia sekarang memang skeptik dengan agama, dan bukan Islam sahaja. Tetapi ada beza kesan sekularisasi terhadap agama lain dan agama Islam. Kita yang menganut agama Islam ini bukan sekadar menjadikan agama Islam sebagai upacara, keramaian dan perayaan pada waktu-waktu tertentu semata, tetapi Islam adalah cara hidup. Dan itu bermakna tiada konteks dalam kehidupan seorang muslim yang tiada disentuh dalam Islam, termasuklah ekonomi dan politik. Aku percaya, dengan agama, kita bukan sahaja boleh menjadi manusia yang baik, malah menjadi hamba yang sempurna. Kerana apalah gunanya ketaatan dan kebaikan kita kepada manusia jika akhirnya tidak disandarkan pada sebenar-benar Pencipta?”
Hassan masih asyik mengunyah. Tetapi aku tahu, dia masih lagi mengambil perhatian dengan perbualan kami.
“Tapi masih ada orang baik beragama yang lahir dari negara sekular. Contohnya seperti seorang kaya bernama Rachid Nekkaz. Dia membayar saman yang dikenakan terhadap wanita yang memakai Burqa di khalayak awam di Perancis. Dia bukanlah menentang dasar Perancis itu kerana membela agamanya, tetapi kerana undang-undang tersebut telah merosakkan kebebasan individu yang sepatutnya dimiliki oleh semua pihak. Nah, manusia yang baik boleh saja lahir dari suasana sekular, bukan?”
Sambil membuka aluminium yang membaluti krib, giliran aku pula menjawab, “Aku tak pernah nafikan bahawa sistem sekular boleh melahirkan manusia yang baik.” Hujung krib aku jamah sedikit, dikunyah dan ditelan. “Pertamanya, Rachid Nekkaz yang kau sebut tadi, ada spekulasi yang timbul oleh beberapa pihak akan kepentingannya di sebalik sifat pemurahnya itu. Ini aku baca dari satu artikel oleh The Washington Post. Menurut artikel tersebut, Agnes De Feo, seorang pengkaji dan pembikin dokumentari mengenai isu Burqa di Perancis sejak sembilan tahun lalu mengatakan bahawa walaupun Rachid benar-benar membayar saman-saman tersebut pada mulanya, tetapi dia terkenal sebagai seorang yang tidak menepati janjinya. Ini dibuktikan dengan keluhan oleh beberapa kenalannya yang cuba menghubungi Rachid untuk menolong mereka membayar saman tetapi tidak berbalas. Bagi De Feo, Rachid hanyalah seorang usahawan yang mencari pengaruh dan populariti. Ini selari pula dengan sejarahnya yang pernah ingin bertanding sebagai calon Presiden pada tahun 2007 dan gagal. Apabila manusia tidak sandarkan kebaikannya pada tuhan, maka kebaikannya disandarkan pada dirinya. Atau lebih betul lagi, untuk kepentingan diri sendiri. Ini bagi aku kepincangan utama dalam humanisme. Percaya manusia akan berbuat baik biarpun tanpa agama, sekadar teori indah yang sukar terlaksana.”
Aku sambung lagi, “Kedua, nilai kebaikan yang dibawa oleh individu sekular datang dari moral yang digariskan oleh masyarakat setempat. Sebagai contoh, apabila duduk sambil menyilang kaki di Mesir dianggap biadap, tetapi kalau di Malaysia, tiada masalah. Membuka kawasan yang dianggap aurat di sini, satu kebiadapan, tetapi tidak di barat, kan? Berbeza dengan Islam. Kebaikan yang dibawa oleh seorang muslim digariskan oleh tuhan. Kita berpandukan Al-Quran dan Sunnah nabi. Panduan berakhlak mulia datang dari tuhan, dan diajarkan kepada kita melalui nabi, bukan oleh sembarangan manusia yang boleh dikawal oleh nafsu dan ketamakan semata.”
Kami berhenti berhujah dan masing-masing mula menjamah krib di depan mata. Hassan yang sudah lama mendahului kami akhirnya telah menghabiskan kribnya. Dia bangun menuju ke peti ais dan mengeluarkan sebotol air mineral bersaiz kecil dari peti berpintu lutsinar itu. Dia duduk kembali di meja dan membuka lalu meneguknya perlahan.
“Secara ringkas, aku lebih rela berdepan dengan masalah seperti ‘penunggang’ agama dan membiarkan orang beragama yang lain selesa mengamalkan kepercayaan masing-masing, berbanding mencarik agama dari sebahagian cara hidup mereka. Lama kelamaan, carik yang sedikit itu akan membesar, dan akhirnya agama akan ditolak secara sepenuhnya. Agama bukanlah boleh diterima separuh-separuh, seperti firman tuhan yang maksudnya lebih kurang begini,
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama Islam secara menyeluruh, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”
2:208
Maka tak mungkin kita ingin mengaku muslim dalam masa yang sama cuba memisahkan mana-mana aspek sekalipun dalam kehidupan kita dari Islam,” ujarku panjang.
                Ajai dan Hassan mengangguk-angguk bersetuju. “Guys, janganlah serius sangat. Bulan merdeka ni,” Hassan cuba menceriakan suasana.
                “Merdekakah kita? Bebaskah rakyat Malaysia dari hutang? Kemiskinan? Bebaskah kerajaan kita dari salah guna kuasa? Rasuah? Bebaskah penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing dengan aman? Bebaskah negara kita dari sentimen perkauman? Berapa banyak anak yatim dan miskin di Malaysia yang tidak mendapat pendidikan yang sempurna?” aku cuba mencetus provokasi. Ajai tergelak kerana menyedari persoalan yang sama telah ditujukan kepada aku pagi tadi.
                Lalu kerana kasihankan Hassan yang terpinga-pinga tidak tahu mahu menjawab apa, aku menjawab sendiri, “Merdeka, bagi aku adalah satu proses yang belum habis. Titik mulanya pada 31 Ogos 59 tahun yang lalu adalah satu permulaan yang bagus. Kita keluar dari cengkaman penjajah. Untuk tidak mengambil kesempatan atas pengorbanan pejuang kemerdekaan kita, banyak lagi jenis kemerdekaan yang perlu kita capai. Lihat generasi ayah mak kita. Mereka berjaya memecahkan tembok sekularisasi barat dan mula menapakkan semula Islam di dalam sanubari masyarakat. Bertudung tidak lagi aneh di Malaysia. Kadar kefahaman Islam dalam masyarakat sedikit demi sedikit meningkat. Dari satu perspektif, ya, kita sering bertelingkah tentang hal-hal ranting dalam agama. Tetapi secara tidak langsung itu menunjukkan bahawa kita mengambil serius dan sentiasa cakna dengan kepercayaan yang kita anuti. Malah bagi aku, kemerdekaan jiwa itulah yang paling penting kita kejari. Apabila kita mengenal diri dan tuhan, maka kita mengenal hakikat penciptaan kita. Kita insaf akan tanggungjawab kita. Kita faham akan fitrah diri kita. Dan apabila kita bebas dari kejahilan dan kemungkaran, bagi aku, ya, kita merdeka.”
               

Hassan dan Ajai mengangguk bersetuju. Krib yang berbaki habis dijamah. Perut kenyang, hati senang. Fikiran juga lapang. Ah, mujur saja tiada lagi soalan provokasi daripada Ajai. Cukuplah untuk sehari ‘perdebatan’ kami.
Seusai makan, kami beransur pulang ke rumah masing-masing. Kami bersalaman dan Hassan sempat lagi berjenaka dengan Ajai. Kami berpisah menuju arah bertentangan. Aku dan Hassan berjalan malas-malas menuju ke rumah kami. Biarlah makanan di perut dapat dihadam perlahan-lahan.
                Hassan menyiku aku perlahan. “Ajai tu peliklah. Dia sekular ke? Lain macam,” soal Hassan. Aku ketawa. Ada-ada saja budak ni.
                “Ajai seorang yang suka mencabar minda. Kalau aku kata ‘A’ dia akan tanya aku, mengapa tidak ‘B’? Biar kita berprinsip bukan ikut-ikutan semata. Hah, Kalau kau nak dicabar lagi, jom berpagi-pagi dengan kami. Mahu pening kau dibuatnya dengan si Ajai tu.” Hasan menyengih saja.
“Tapi, tak. Dia bukanlah sekular. Kau belum cukup kenal dia.”
                Hassan mengangguk saja. Semoga dia berminat untuk menyertai aktiviti ‘berpagi-pagian’ kami esok. Sengihnya masih juga belum lekang.