Pages

Mar 4, 2011

habis dah. (part 3)


                Malam itu macam malam-malam lain di Zaqaziq. Sejuk mencengkam kulit, bunyi bingit Arab di luar entah kenapa, sudah terbiasa bagi kami. Aku ingin membawa sahabat aku berdua itu makan di Krib King. Bukan selalu mereka dapat makan di situ.
                Bangunan empat tingkat itu kami turuni. Ah, sejuk sudah mula menggigit. Hidung terasa perit. Selsemalah aku kalau macam ni.
                “Cepatlah Suhayl. Besar betul. Lambat sangat. Kesian kat Murt, dia dah lapar tu,” kataku pada Suhayl. Dia aku berpaling menunggunya.
                Suhayl sibuk membelek kamera DLSRnya. Dengan muka masamnya yang sengaja dibuat-buat, dia menggumam sendiri, “kejaplah. Aku pun lapar juga. Eh, kau rasa kamera aku selamat ke kalau bawak ni?”
                Aku dan Murtadha berpandangan. Entahlah. Kalau ikut adatnya Mesir, bahaya tu. Bawa merata-rata kamera sebesar itu mudah menarik perhatian orang. Kalau tak kena rampas dengan Amn Daulah, ada risiko kena curi pula. Doa-doa sahajalah kamera itu selamat.
                “Yang kau mengada-ngada sangat nak bawak kamera tadi, kenapa?” tambah Murtadha. Kami mula membelok di simpang yang terdapat kotak menjual ‘Isy, roti ruji Mesir.  Kadang-kadang kami mengelak lopak-lopak air. Entah dari mana datangnya air-air itu. Hendak kata hujan, ajaib. Hujan itu perkara ajaib di Mesir. Tahu-tahu sahajalah. Tapi tahun ini memang banyak hujan. Entah kenapa.
                “Aku bawa sebab nak ambil gambarlah. Kau lupa ke apa? Sekarang kan musim demonstrasi. Rusuhan sana-sini. Untung-untung kita dapat ambil gambar buat kenangan sikit,” Suhayl menyengih. Jauh-jauh dari Iskandariah membawa kamera sebegitu, rugi juga kalau tiada gambar menarik diambil.
                Perbualan kami rancak sehinggalah kami sampai di Krib King. Aneh sekali, jalan-jalan di sekitar ‘Syaari’ Syaitaan’ lengang. Lengang! Tidak banyak orang yang melintas. Dan kami melihat semua Arab yang lalu-lalang menutup hidung mereka dengan tisu. Semua tergesa-gesa. Ah, sudah. Mana tak sakit hidung. Suhayl sedari tadi menggenyeh hidung. Aku fikir semuanya kebetulan. Sangkaanku meleset. Gas pemedih mata rupanya! Aduh, patutlah pedih semacam.
                Usai makan, kami bergegas pulang. Cuak menyentap hati kami. Sempat kami singgah di kedai Kraml sebentar. Kedai yang terkenal dengan ais krimnya yang lazat nyam-nyam, dan kraml yang menggiurkan. Tak lupa juga Asirnya yang pekat dan enak itu. Memang mahal, tapi berbaloi.
                “Abrar, kau tengok tu,” panggil Murtadha. Aku berpaling. Oh, berita. Iyalah, di rumahku tiada televisyen. Internet juga sudah disekat sejak rusuhan tempoh hari. Berita menunjukkan kereta kebal bersepah di jalan raya. Keadaan genting di Ramsis. Banyak bangunan-bangunan yang hancur di sekitar Kaherah. Orang Mesir yang melihat bersama kami pun cemas, apatah lagi kami. Serasa bagai tiada tempat untuk melarikan diri. Selesai membayar, kami segera pulang. Tidak lama menunggu memandangkan tiada orang lain yang membeli. Jalan Qomiah itu benar-benar sepi.
                Hidung sakit lagi. Begitu juga tekak. Kadang-kadang aku tertanya-tanya juga, namanya gas pemedih mata, tetapi hidung dan tekak yang paling sakit. Kenapa?
Saat kami sampai di lorong Maharith Handasah, tempat tinggalku, kami melihat orang ramai berkumpul di depan pasaraya Abu Khalifah. Sama seperti Maghrib tadi. Cuma kali ini Nampak lebih mencemaskan. Kami tidak tunggu lama. Tanpa banyak berfikir, kami terus berlari anak menuju ke imarahku. Manca rasa mencorak minda. Dengan sakit yang mencucuk-cucuk, dan rasa takut di pangkal hati, semuanya bercampur-baur.
                Segera kami berlari-lari. Semakin hampir dengan tingkat atas, semakin pedih semuanya. Segera aku mengetuk pintu bagai nak pecah. Pintu dibukap pantas, dan tercungap-cungap kami meluru masuk. Kami duduk sekitar dua minit sebelum semuanya pulih. Mereka yang di rumah tertanya-tanya apa yang terjadi. Suhayl yang paling semangat mula bercerita. Aku dan Murtadha sekadar menokok tambah apa yang kurang. Cemas sekali. Setelah itu, aku cuba menghubungi kawan-kawan kami di Salaam, tapi sayangnya telefon kami tidak boleh digunakan. Perkhidmatan tergendala!
sakan depa tidoq...
                Fayyad tiba-tiba datang. “Cepat kemas. Akhawat nak masuk. Baru sampai dari Airport.” Kami yang mendengar gelabah. Mana tidaknya, markas bersepah-sepah. Orang bujanglah katakan. Kami dengan gelabah sambil ketawa segera mengemas apa yang termampu. Akhawat-akhawat yang dimaksudkan sampai. Mereka solat di dalam satu bilik.
                “Cepat siap. Kejap lagi, dalam pukul Sembilan setengah, bas datang,” ujar Fayyad. Kami mula mengemas apa yang patut. Beg-beg semuanya telah siap. Tinggal menunggu mahu diangkat sahaja.
                Cerita tadi tidak berakhir di situ sahaja.
                Dua tiga hari kami terperuk di rumah tanpa khabar berita. Rusuhan rancak di luar sana, terutamanya di depan universiti. Aku ingat lagi bagaimana ada akhawat kelasku yang cemas mahu pulang kerana waktu perintah berkurung kian menghampiri. Aku menemani mereka sehingalah mereka mendapatkan teksi. Kata mereka, teksi itu melalu universiti, dan kawasan itu memang gila. Hiruk-pikuk penunjuk perasaan itu mencemaskan. Mujur sahaja kawasan rumah aku jauh dari situ. Sekurang-kurangnya demonstran melalu kawasan rumah kami pada dua tiga hari yang pertama saja.
                Bekalan makanan kami cukupkan. Air-air kami isi di dalam botol-botol kosong. Khabar angin mengatakan bahawa ada kemungkinan air dan api akan dipotong nanti membuatkan kami rajin tiba-tiba. Suhayl dan Murtadha dengan hati keringnya telah pulang ke Iskandariah. Murtadha sibuk di sana. Banyak tugas-tugas menunggu. Suhal juga tidak kurang sibuknya. Orang-orang hebatlah katakan.
                Di situlah kronologi rusuhan ini bermula. Mujur sahaja kawasan kami tidak seteruk Kaherah. Pernah sekali pada suatu malam, Zakhir menelefonku dan mengkhabarkan pak Arab di kawasan sana sibuk mengetuk semua rumah di Salaam termasuk rumah Melayu untuk mengajak mereka ‘turun padang’. Siapa tak cemas. Aku menasihatkan mereka agar tidak keluar, walaupun aku tahu mereka takkan keluar.
                Ibu bapa kami di Malaysia sibuk menghubungi. Tidak kurang juga dengan emakku. Dia memberitahuku bahawa kerajaan akan membawa keluar kami semua. Kebetulan ketika itu internat sudah tidak disekat, aku melihat beberapa laman web. Malangnya, Zaqaziq tidak terdapat dalam lis-lis evakuasi. Aku cemas. Bagaimana kalau kejadian tempoh hari bertambah teruk. Kami kecut perut. Aku dan Syahirul berpendapat bahawa kami patut pulang. Adib dan Fayyad pula tidak mahu pulang. Balik atau tidak, yang penting, kami mengharapkan jaminan keselamatan yang kukuh.
                Jam-jam berlalu satu-satu. Kami resah. Aku resah. Dan tanpa kusedari, satu nota di laman Facebook sudah siapku taip.
Suatu nota yang bakal dikritik hebat.
                Biarlah. Aku tidak mahu mengulangi cerita itu.
                Esoknya, tiba-tiba sahaja kami dihubungi, dan diminta berkemas segera. Aik, nota aku sudah sampai ke peringkat kerajaankah? Kami bersiap-siap segera. Tengahari itu juga kami sudah ke tempat yang diarahkan untuk berkumpul. Tidak ada apa-apa. Bas sampai lewat hari itu. Petang. Mujur juga datang. Kalau tak, memang kami sumpah seranah.
darurat pun stadi wooo...
                Masuk di dalam bas, entah dari mana datangnya tenang menyusup ke hati aku. Aku melihat muka-muka mereka yang menguruskan kami. Muka lelah. Katanya mereka tidak tidur 3 hari hanya kerana menguruskan proses evakuasi ini. Aku disentap rasa bersalah. Tidak patut aku menuduh kedutaan atas kelambatan evakuasi kami. Mereka sudah berusaha sehabis daya. Aku berkira-kira. Ada orang lebih ‘atas’ untuk dituding jari. Celaka.
                Biarlah.
                Kami tiba di Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah, DMAK setelah 5 jam melalui sekatan-sekatan tentera. Tidak terkira banyaknya. Nyata, bergerak pada waktu malam adalah idea yang tidak berapa bernas. Lelah kami ditambah dengan kehabisan makanan. Mana tidaknya, waktu itu sudah menhampiri jam sebelas. Pihak ARMA menjanjikan makanan kepada kami. Kami diarahkan untuk ke bilik dahulu. Segera kami dibahagikan. Aku masuk ke dalam bilik yang ditetaplan. Ada beberapa orang ustaz dan doktor di dalamnya. Salam dijawab dengan salam. Kami bersalaman.
makanan kat arma
                “Siapa nama anta?” soal seorang ustaz. Loghatnya membuatkan aku tahu, dia orang Kedah.
                “Nama ana Abrar,” aku meletakkan barang-barangku di satu sudut. Yang lain memandang sambil senyum.
ni solat hajat kot
                “Abrar Shafie?” tanya ustaz itu lagi. Aku memandangnya. Aneh sekali. Adakah kami saling mengenali? Mungkin sahaja, kerana dia berasal dari Kedah.
                Aku bertanya,”kita kenal ke, ustaz”? dia ketawa kecil. Reaksi mudah. Aku tahu jawapannya tidak.
                “Ana baru baca nota anta di Facebook tadi. Tak sangka pula jumpa orangnya,” tambah sang ustaz. Darah terserbu ke mukaku. Malu. Ya, aku tahu nota itu berbaur emosi. Masakan tidak. Siapa tak panik. Berita yang sampai ke Malaysia dan kami berlainan. Ah, tidak boleh jadi. Aku mesti padam semula nota itu.
salah satu bilik kat arma. besar wooo
                Tidak perlulah aku cerita banyak mana yang membaca nota itu. Tak kurang juga yang mengkritik aku. Komen habis-habisan. Aku pasrah. Memang salahku.
                “Ha, dah pukul 9. Cepat bersiap-siap nak ke Zaqaziq,” Abang Marwan tiba-tiba muncul. Perjalanan Zaqaziq-Kaherah-Jeddah-Malaysia-Kaherah-Zaqaziq kami hamper berakhir. Kami mula mengangkat bagasi yang banyak itu ke bawah. Kotak-kotang yang cukup berat itu dibawa perlahan-lahan. Sebahagian kami yang sudah selesai membawa bagasi-bagasi perempuan pula. Sekitar 15 minit, semuanya selesai.
                Usai sedikit taklimat, kami menunggu hingga ke jam 10. Janji Arab memang begitu. Kami tidak terkejut. Memang telah kami jangka. Bagaimana Islam mahu maju kalau penganutnya tidak menepati masa? Tidak menepati janji?
                Beg-beg dimasukkan ke dalam bas. Setelah itu kami masuk. Bas mula bergerak.
                Aku mengimbas lagi hari-hari lalu.
                Setelah menunggu giliran penerbangan di DMAK selama sehari dua, kami akhirnya dapat ke lapangan terbang. Di sana, satu kem sementara dibina untuk rakyat Malaysia. Orang sungguh ramai. Sesak amat.
di airport cairo
                Dan kami terpaksa menunggu lagi sehinggalah malam menjelang. Dan akhirnya giliran kami tiba. Aku dan beberapa rakanku ditakdirkan menaiki pesawat neraka. Pesawat Charlie. Pesawat tentera. Tidak terlintas langsung kemewahan di dalam pesawat itu.
                Dan memang tiada. Kerusi pun tidak ada, apatah lagi pramugari. Baru mahu menggedik-gedik dengan pramugari. 200 ratus orang disumbat sekaligus. Sardin terbanglah, gamaknya.
                Penantian kami tidaklah berakhir disitu. Sesampainya di Jeddah, kami terpaksa menunggu penerbangan ke Malaysia pula. Tika inilah yang aku rasa menarik. Hampir semua rakyat Malaysia di Mesir berkumpul sekaligus. Ramai ya amat. Boleh dikatakan, aku sudah bersua dengan semua kenalanku yang belajar di Mesir. Bukan selalu. Saat-saat darurat sebeginilah saja ami dapat bertemu.
                Aku dan Radzi, kawanku, melangut di situ seminggu. Rakan-rakan yang lain sudah selamat pulang ke tanah air. Bosannya! Seminggu tanpa arah tuju. Internet pula perlahan macam kura-kura. Macam biasalah, dari gudang sehujung-hujungnya, hinggalah gerai roti canai yang mencekik darah di hujung sebelah sana. Satu malam mungkin 3 hingga 5 kali kami ronda. Macam sa’ie pula.
radzi di eport jeddah.
                Setelah 2 jam, kami sampai. Aku membuka mata. Tahu-tahu kami sudah di Zaqaziq. Alhamdulillah, syukur pada tuhan. Selamat juga kami habisi pengembaraan ini. Dari Zaqaziq aku ke kaherah. Terus, aku menuju Jeddah. Pulang ke Malaysia dan setelah 2 minggu, aku di sini semula.
                Ya, it’s not that big deal. Macamlah yang cakap itu tahu. Sembang ‘kencang’ sahaja tahu. Biarlah aku dicemuh sekalipun, kerana membazir duit kerajaan katanya. Tapi aku ada pengalaman yang paling berharga, tahu. Sekurang-kurangnya ada sedikit dari umurku terselit dalam lembaran sejarah dunia; ‘Domino TImur Tengah’.
                Dan pasportku telah bertambah cop. Hehe. Kuliah akan bermula dua minggu lagi. Ah, tenang-tenang aja. Semuanya baik-baik sahaja, insyaAllah.
Entah apa pula kejadian menarik di Mesir selepas ini. Aku kahwin?
Ewah-ewah.

6 comments:

MUJA said...

AYAT LAST BUKAN MAIN ,hahhahaha

~cik fitriah~ said...

ntahnye.. setuju dengan komen di atas :P

eni^_^ said...

terbaek!!

nemesis3891 said...

tahniah pade mujako sebab baca citer boring ni sampai habis. heheh.

ala, kalo aku tak tulis camtu, tak la namanya hepi ending, kan? wakaka.

erk, alamak. da azan.

Shasha Ira said...

bca entry ni buat sy sedar..
pengalaman kita ni sangat2 berharga,hehe..
abrar,doakan la sy dpt balik sana cepat2,hehe..
sana kan doa makbul,huhu..

Norashikin Abdullah said...

yeah pnglman x kn kulupa