Jul 18, 2011
debaran
sedang orang nak menikah pun berdebar. lagikan yang ini. debaran-debaran gusar mampir setiap kali aku teringat. tuhan, takutnya aku. debaran ini bukan tanda suka, tapi tanda segan sebenarnya. aku segan pada semua. pada dunia yang sudah bersedia, sedang aku belum, pada amalan-amalanku yang lalu, entah diterima tidak, pada diri sendiri. ya, aku berdebar kerana masih tidak bersedia!
semakin jauh aku melangkah ke dunia realiti, semakin kurang kiranya amalanku. sedang hari sekolah sudah mengintai bak gadis menjeling bakal suaminya di sisi pintu dapur. oh, dia mengintai gembira, sedang aku gelisah. yang bakal menjengah nanti bukan yang biasa. paling istimewa mengalahkan apapun yang terbaring di muka bumantara ini.
Allahu Rabbi.
bersediakah aku bersekolah ramadhan ini?
sedang diriku masih dikotori tahi-tahi dosa kelmarin,
sedang tanggungjawabku bagai digonggong lewa ke sana ke mari,
sedang aku masih leka duduk di sini,
sedang aku masih tak tahu, sudahkah Kau terima puasaku terdahulu.
oh, pasti saja aku gembira,
kerana berkah ramadhan datangnya dihiasi
permata-permata quran,
yaqut-yaqut zikir,
marjan-marjan solat,
tapi debaran itu tetap ada.
Allahu Rabbi,
sungguh! aku berdebar bukan kerana gembira.
aku berdebar kerana belum bersedia.
seakan dunia pun mendengar,
'Burr' 'Burr' kata hatiku.
salam satu agama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment