Pages

Oct 12, 2014

Buku Indie & Masyarakat

Assalamualaikum~



Dalam menyentuh topik ni, moleklah kiranya saya kategorikan pembaca kepada tiga bahagian; penggemar buku indie, yang tak tahu buku indie tu apa dan yang benci pada buku indie.

saya pernah berjumpa dengan ketiga-tiga jenis manusia ini.



Kategori Satu

yang pertama, penggemar buku indie, tidaklah susah untuk dicari. lambakan buku indie dan pembacanya boleh dikatakan satu gelombang baru dalam masyarakat majmuk malaysia. mungkin tidak digebangkan seperti isu-isu politik selangor, bajet 2015, tetapi gelombang baru ini sebenarnya agak besar.

ada beberapa persoalan yang timbul. Antaranya, kenapa mereka memilih buku indie? dan bagaimana buku indie sebegini boleh laris?

saya sendiri tidaklah membaca begitu banyak buku indie, kerana saya peminat sastera dan buku-buku indie selalunya tidak begitu menekankan unsur itu.

sebahagian koleksi buku indie aku. tengkiu Lejen Press~


tetapi saya mempunyai koleksi buku indie yang agak banyak, juga saya sendiri pernah menulis dan diterbitkan oleh publisher indie. tapi tidaklah laku mana. Jadi, tulisan saya ini tidaklah bias untuk membela penerbit-penerbit ini atas alasan ada antara mereka yang pernah menerbitkan tulisan saya. Walaupun Lejen Press menerbitkan tulisan saya, sebelum itu, DuBook Press pernah menolak tulisan saya atas alasan tidak kena dengan genre mereka (tapi lepas tu ada La Adri, DIAgnosis bagai. tapi tak kisahlah).

alamak dah melalut.

dalam 5,6 buah buku indie yang telah saya baca, hampir setiap karya mempunyai kelainan (yang layak dipuji) tersendiri. Dan itulah kelebihan buku-buku indie. Akrab dengan masyarakat. Unsur humor. Tidak berat. Dan yang paling penting, lain dari yang lain.

Setakat ini, kita tidak akan jumpa buku-buku novel chenta tipikal yang berlonggok di pasaran, diterbitkan oleh geng indie ini. Eh. Tak juga. Ada, tetapi sangat sedikit.
Anda juga tidak akan menemui buku-buku agama dengan kulit berkilat mewah bercorak islamik yang cantik dihias di atas meja rumah atau di almari kita. Tidak. Tetapi rupa kulit buku-buku indie menarik dengan gaya tersendiri. Lebih sesuai dengan jiwa muda.

Kenapa pembaca memilih buku indie?
Pertama, kulit bukunya saja sudah menarik perhatian. Tidak nampak mewah, tetapi menarik.
Kedua, isinya yang ringan. Sesuai dihidangkan bersama pisang goreng atau dibaca begitu sahaja di dalam kenderaan awam.
Ketiga, jalan ceritanya yang tidak klise. Cerita mengenai penjara, cerita penderitaan, kritikan terhadap sistem pendidikan negara, dan berbagai jenis lagi. Mungkin pembaca sudah muak dengan cerita chenta yang bersepah-sepah di kedai buku. Bak kata kawan aku, "rasa nak bakar je tengok buku-buku ni".



Kategori Dua

Ada diantara kawan-kawan saya yang tidak tahu menahu apa itu buku indie. Contohnya, geng-geng ABIM Mesir. Bukan mereka saja. Banyak lagi. Mereka bukan tidak endah tentang trend dalam belia, tetapi mereka ini selalunya terlalu ghairah membaca buku-buku kritikal. Bacaan ruji mereka adalah berbentuk ideologi, esei, kritikan sosial atau mungkin yang paling ringan sekali adalah biografi figura dan tokoh hebat kontemporari.

Mereka tidak pernah mendengar/membaca buku indie bukan kerana mereka tidak suka, simply because itu bukan bahan bacaan mereka. Kalau mereka baca novel ringan, mereka boleh tertidur. Malah, mungkin membaca separuh jalan, dan berhenti selama-lamanya. Jika ditanya, penulis kegemaran mereka mungkin Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Ust. Siddiq Fadzil, dan mungkin yang paling cikai adalah Faisal Tehrani (bukan sebab beliau cikai, tapi sebab geng ni tak baca sangat buku cerita).

Golongan ini bagi saya adalah golongan advance. Mereka tidak lagi menyentuh komik, mahupun buku yang ringan-ringan.  Sedikit kelemahan yang mungkin patut ditegur adalah mereka juga perlu cuba mengenal jiwa masyarakat kebanyakan dengan membaca karya yang ringan sebegini. Inilah luahan anak muda. Inilah corak pemikiran mereka. Andai ada yang menyimpang, maka anda tahu mereka salahnya di mana.

 koleksi buku di Klasika Media

buku macam ni je diorang sentuh


Walaupun mereka tidak membaca buku indie, mereka tidaklah benci. Samada mereka memang tidak pernah mendengar, mungkin juga mereka merasakan buku indie ini tidak signifikan dalam masyarakat, atau boleh saja mereka beranggapan bahawa buku indie ini punya sumbangan tersendiri dalam masyarakat.



Kategori Tiga

"Buku Indie ni meracun fikiran anak muda. Pemikiran mereka menjadi cetek. Ideologi tidak jelas. Semua benda boleh separuh jalan. Pegangan akidah goyah. Sudahlah tak bermanfaat, merosakkan pula tu".
Mungkin ini agaknya mindset golongan ketiga ini. Mereka cukup anti pada buku indie.


tak mahu komen panjang.



Status buku Indie dalam masyarakat

Buku indie ini boleh dikira agak baru dalam industri buku. Mungkin buku indie ini betul punya kekurangan, tetapi untuk menafikan bahawa mereka juga membaca unsur positif adalah tidak patut.

Kebanyakan orang mula membaca dengan komik. Anak-anak Sidek, Doraemon, Shin Chan, Chibi Maruko Chan dan bermacam-macam lagi. Tak kurang juga yang membaca majalah seperti Ujang dan Gempak. Jika difikirkan, buku seperti ini tidaklah begitu berfaedah kepada masyarakat. Malah, ramai pula pembacanya. Tetapi sedikit demi sedikit, yang membaca Doraemon mula membaca Novel. Yang membaca Ujang mula membaca Solusi. Dan begitulah seterusnya.
Adakah ianya satu kepastian bahawa mereka yang membaca buku indie akan upgrade pembacaan mereka kepada pembacaan yang lebih serius? Tidak, tetapi kita boleh berharap.
Malah, ramai juga mereka yang membaca buku-buku membina, merehatkan minda dengan membaca buku-buku ringan sebegini. Sekali sekala ketawa kan bagus juga.

Mungkin buku-buku indie tidak kaya dengan karya yang berunsur sastera, mahupun kritikal, tetapi mereka juga menyumbang. Ramai anak muda yang sudah hilang minat membaca, kini kembali membaca. Kalau dalam buku yang kita kata merepek ini, penulis meletakkan secebis ilmu, maka pembacanya secara tidak langsung juga telah mengutip secebis ilmu tersebut. Ini lebih baik berbanding generasi yang hanya melekapkan muka mereka pada gajet-gajet canggih sekarang.

Dalam industri buku Malaysia sekarang, sudah ada kategori baru. Dulu kita ada komik, majalah, akhbar, buku cerita (novel mahupun kumpulan cerpen), biografi dan buku kritikal. Sekarang kita ada buku indie. Atas sikit dari komik. Mungkin itu tangga baharu yang perlu ada supaya masyarakat kembali bertatih membaca.

Tambahan pula (macam karangan Bahasa Malaysia pulak), banyak juga buku indie yang bagus. Kita ada Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang, kita juga ada La Adri, juga Pedagogi Bahasa Tertindas dan mungkin banyak lagi.

Penerbit buku mainstream seharusnya tidak memandang enteng penerbit buku indie, malah mengambil iktibar. Kalau kalian sebagai penulis merasakan bahawa buku indie ini tidak banyak manfaatnya, maka silakan tulis karya yang menarik juga bermanfaat dan sila hantar manuskrip anda ke penerbit-penerbit ini. Banyak bunyi, usaha tak ada, tak guna juga.

Kepada para penggemar buku, mungkin buku indie bukanlah kategori kegemaran anda. Tidak mengapa. Bacalah buku mengikut kegemaran masing-masing. Jangan pula dicela buku orang lain.
Mungkin buku yang kita baca lebih ilmiah, tetapi mereka yang membaca buku yang lebih ringan itu lebih mulia. Yelah, baca buku ilmiah sikit dah berlagak hebat. Tak ke riak dan ujub namanya tu?


Akhir sekali, baik baca buku indie, komik, dari tidak membaca langsung.
Majulah industri buku untuk negara.
#KMZ

nah baca x-ray kalau dah malas sangat nak baca buku.

luls.

3 comments:

Nur Fannun said...

minat juga nak try baca buku indie..

Iza Sutarzi said...

nak beli buku indie ni selain pesta buku and online shop nak beli kat ne?

fikrahuddin said...

@Iza Sutarzi buku2 Indie sekarang dah banyak di kedai2. insyaAllah tidak susah nak jumpa