“Terima kasih,” pelayan muda
berbaju lusuh itu berlalu sambil tersenyum. Teh pekat itu cuba aku hirup. “Ah,
masih terlalu panas,” gumamku sendirian. Aku biarkan seketika sebelum dihirup
semula. Wap panas yang asyik menari-nari di atas gelas mengaburkan cermin
mataku. Lantas aku biarkan lagi air teh itu supaya lebih sejuk.
Jam di
tangan kiriku menunjukkan tepat pukul 8.30 pagi. Rutin harianku untuk minum
pagi berdekatan dengan universiti sebelum ke kelas adalah wajib. Inilah masanya
untuk aku membaca buku, atau mengasah minda. Ya, mengasah minda dengan
perbualan. Perbualan bersama teman ‘debat’ku.
Dari jauh,
sayup kelihatan kelibat Ajai berjalan santai ke arahku. Tangan kanannya
memegang beg sandang, tangan kirinya lenggang ke depan dan ke belakang. Dari
jauh dia senyum kepadaku sambil melambai tangan kirinya. Aku membalas dengan
senyuman. Buku yang baru ku buka, ditutup semula. Hari ini perbualan kami akan
bermula lebih awal dari biasa nampaknya.
“Assalamualaikum,”
aku memberi salam usai dia tiba di mejaku. Dia menjawab sambil menarik kerusi
di hadapanku untuk duduk. Pelayan muda tadi bergegas ke meja kami untuk
mengambil pesanan. Kedai masih lengang. Hanya meja kami dan meja di hadapan
kami saja yang berpenghuni. Pelayan tadi ligat menulis pesanan. Seperti biasa,
nescafe kurang gula adalah minuman rutin buat Ajai.
Aku
suka berpagi-pagi di sini. Suasana hening yang menyapa mesra, universiti terasa
aman seketika, sebelum hiruk pikuk manusia menerjah masuk, berpusu-pusu menuju
ke kelas masing-masing. Pokok rendang tempat meja kami berteduh sesekali
menggugurkan daun kuning. Musim luruh sudah tiba. Dan pagi-pagi beginilah
selalunya aku dan Ajai akan bertemu.
“Tak
habis lagi kau baca buku tu?” soal Ajai. Buku putih di atas meja menjadi pemula
bicara. Buku Muqaddimah, karya Ibnu Khaldun yang sudah diterjemahkan ke dalam
Bahasa Inggeris masih lagi belum habis kubaca walaupun sudah dua minggu. Buku itu
akan segera aku habiskan.
Ajai mencapai kotak rokok di poket
seluar. Sebatang rokok dikeluarkan dan sebelum dinyalakan, dia memandang ke
arah aku. “Aku hisap, ya,” seolah-olah meminta kebenaran aku. Tabiat merokoknya
tidak menghalang Ajai menjadi manusia yang bertimbang rasa. Malah,
kadang-kadang perokok seperti dia lebih baik dari aku (tapi tidaklah aku
bersetuju dengan tabiatnya itu).
Khali mengisi kekosongan. Aku capai
telefon bimbit dan membuka aplikasi Facebook. Sedang asyik membelek, Ajai
mengetuk meja memanggil aku. “Oi, kau tengok apa tu? Janganlah
belek telefon kalau sedang melepak.” Aku hanya tersengih dan menyimpan
semula telefon bimbitku ke dalam poket.
“Sorry. Tengok kau syok
sangat hisap asap, ingat tak mahu berborak,” giliran aku pula memerli. Dia
mencebikkan muka, malas melayan.
“Tadi aku baca isu di Perancis. Tak
habis-habis lagi isu di Perancis,” teh di atas meja dihirup lagi. Tiada lagi
asap yang menari di atas cawan. Manis dan pekat. Teh Arusah memang padu.
“Isu apa lagi di Perancis?” dahi
Ajai berkerut. Asap keluar berkepul dari mulutnya. Dia menoleh ke kiri supaya
hembusan asap tidak terbang ke arahku.
Aku mencapai semula telefon bimbit
di poket. “Nah, lihat ni. Polis menahan wanita di pantai kerana memakai
‘Burkini’. Kau tahu kan, Burkini tu apa?” tanpa menunggu respon dari Ajai, aku memandang
tepat ke mukanya dan menyambung, “Burkini ni pakaian wanita Muslim untuk
bersukan. Seingat aku, mula direka di Australia oleh seorang wanita Muslim di
sana bernama Aheda Zanetti. Rekaannya yang menutup bahagian-bahagian yang perlu
dijaga oleh muslimah tetapi tidak ada pada baju berenang yang biasa bolehlah
dikatakan revolusi. Dengan memakainya, wanita muslim tiada halangan untuk
bersukan.”
“Aneh,” balas Ajai. “Kau bersetuju
dengan pemakaian Burkini? Bukan calon isteri kau harus bertudung labuh? Burkini
bukan menampakkan bentuk tubuh ke?” senyuman kecil mengakhiri ayat komennya. Aku
tak pasti adakah itu sekadar gurauan Ajai, atau soalan sebenar.
“Aku pun tak pasti adakah betul
Burkini ini mematuhi syariat. Iyalah, aku ni bukanlah arif dalam bidang
tersebut. Sudahlah panggilannya seperti campuran ‘bikini’ dan ‘burqa’, aneh,
dan tak dapat aku nafikan, sedikit offensive. Tapi, tolak ketepilah
sebentar hal itu. Sekurang-kurangnya ia adalah satu penambahbaikan dan usaha
untuk menutup aurat. Yang mengkhuatirkan aku ialah Islamophobia yang
tampak berleluasa di Perancis, lebih-lebih lagi selepas beberapa siri serangan
pengganas di Perancis tempohari.”
Kami diam sejenak. Ajai menghisap
dalam sebelum menghembuskan asap kembali. “Kenapa sekarang baru kau pelik? Tidak
silap aku, Perancis sudah mengharamkan pemakaian Burqa sejak lima tahun lalu.
Tak pernah pula aku dengar kau bising.”
“Bukan aku tak tahu,” aku
membetulkan duduk. “Itu pun satu bentuk pencabulan hak asasi. Apa salahnya kalau mereka ingin bertudung,
jika melepaskan rambut juga adalah satu pilihan? Penindasan terhadap kaum Islam
sebegini semakin menjadi-jadi. Sebenarnya mereka ini takut perubahan. Toleransi
mereka yang kurang. Syukur saja negara kita tidak begitu. Semua pihak sama-sama
hidup dalam toleransi. Merdeka!” suaraku separuh menjerit dalam nada berseloroh.
Sekali sekala menjerit merdeka di bulan Ogos, seronok juga. Terasa kena dengan
tema.
Ajai ketawa. Hisap. Hembus. “Kau
ingat di Malaysia tiada ke situasi seperti di Perancis? Kau lupa, bagaimana
‘autoriti’ agama negara kita mendesak mereka yang bukan Islam untuk bertudung
supaya menghormati bulan Ramadhan? Bagaimana pula dengan larangan menggunakan
nama ‘Allah’? Itu belum lagi aku sentuh
bagaimana sukarnya proses permohonan mendirikan pusat ibadah mereka.” Rokok
disedut untuk kali yang terakhir, lalu dimatikan di dalam bekas abu rokok.
Soalan retorik yang bertubi-tubi dari Ajai aku diamkan saja.
Dia menyambung lagi, “Di Malaysia,
bagi aku, malah lebih teruk daripada negara barat. Kita tiada kebebasan
bersuara. Kongkongan yang nyata, yang bezanya dengan zaman sebelum merdeka
adalah sekarang kita ditindas oleh orang kita sendiri. Tak perlu baca Animal
Farm, lihat saja negara kita sendiri. Agaknya kalau terjemahan buku itu wujud
di Malaysia, habis diharamkan. Pastinya ‘mereka’ terasa seperti
di-khinzir-kan,” Ajai sengih. Memang peminat Orwell dia ni.
Aku masih diam. Aku tidak berniat
menjawab persoalan-persoalan yang dilontarkan tadi. Persoalan retorik yang tak
perlu dijawab.
Sisa air teh di dalam cawan aku
habiskan. 15 minit sudah berlalu. Manusia kian ramai. Masing-masing berjalan
pantas sambil menyandang beg. Ramai juga yang memeluk buku-buku mereka di
tangan. Masing-masing berasak-asak menuju ke destinasi. 15 minit lagi kelas
akan bermula. Pelayan berbaju lusuh sibuk mengambil pesanan dari orang-orang
yang baru datang.
“Demokrasi negara kita aneh.
Berbelit-belit dengan sentimen agama. Tidak bebas bersuara. Kita tidak bebas,
Din. Tiada apa yang mahu disorakkan. Laungan ‘merdeka’ kau tadi aku rasa kosong.
Kita bebas dari cengkaman penjajah, tapi bebaskah kita sekarang? Bebaskah
rakyat Malaysia dari hutang? Kemiskinan? Bebaskah kerajaan kita dari salah guna
kuasa? Rasuah? Bebaskah penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan
masing-masing dengan aman? Bebaskah negara kita dari sentimen perkauman? Berapa
banyak anak yatim dan miskin di Malaysia yang tidak mendapat pendidikan yang
sempurna? Kita seolah-olah bebas dari realiti, tapi terperangkap dalam ilusi.”
“Kau terlalu skeptik dengan
masyarakat kita, Jai. Kerana sesetengah pihak yang suka ‘menunggang’ agama, kau
mahu buang terus agama dari sistem pemerintahan negara? Adakah dengan
menjadikan negara kita sekular, negara kita akan lebih aman, stabil? Aku tak
nampak mana logiknya. Amankah Amerika Syarikat di mata kau, Jai?”
“Din, kau, seperti ramai rakyat
Malaysia yang lain, terlalu takut dengan terma sekular. Kau menganggap jika aku
pro-sekular, bermakna aku anti-agama. Sekular yang aku maksudkan adalah
undang-undang negara kita tidak terikat atau didefinisikan oleh satu-satu agama
saja, tetapi membawa nilai dan moral yang lebih menyeluruh dan dipersetujui
oleh majoriti. Undang-undang akan berubah mengikut peredaran zaman. Bagi aku,
sistem sebegini tidaklah anti-agama, atau anti-theistic. Sebaliknya,
cara begini lebih meraikan semua pihak.”
Ajai menambah lagi, “Proses
sekularisasi yang terkenal dahulu memang memisahkan kuasa negara dan gereja.
Tetapi bukan bermakna mereka menolak agama sepenuhnya. Mereka memisahkan
autoriti agama dari pemerintahan negara supaya undang-undang dapat dilaksanakan
dengan lebih objektif. Proses sekularisasi bukanlah ‘membuang’ agama, tetapi
tidak mencampurkan pengaruh agama dalam asas undang-undang. Kita sekarang
menganggap apa-apa saja yang tiada kaitan dengan agama, adalah sekular. Dari
satu perspektif, ya. Tetapi sekularisasi tidaklah semudah itu.”
Serasa baki lima minit sebelum aku
harus ke kelas tidak cukup untuk menyambung perbualan ini. “Jadi kalau begitu,
secara andaian, apa saranan kau? Dengan membina undang-undang negara yang tiada
struktur agama, taat setia kita jatuh pada ibu pertiwi semata? Menjadi
warganegara yang sempurna? Biarkan kompas moral kita menuruti apa saja kemahuan
negara?” sekejap-sekejap aku mengintai jam di tangan. Masih ada masa.
“Harus kau ingat, Aristotle
memisahkan antara good citizen dan good man. Menjadi warganegara
yang sempurna memang ada pincangnya. Menjadi rakyat yang taat di zaman Hitler
juga dianggap sebagai warganegara yang bagus, walaupun tidak dianggap sebegitu
andai kau berada di negara lain. Tetapi tidak kalau menjadi manusia yang baik. Good
man tidak bersifat relatif.” Selamba Ajai menjawab kembali.
“Lantas, apa kompas moral seorang
manusia yang baik? Kalau bukan agama, apa? Senarai undang-undang yang dipersetujui
manusia? Kalau begitu, seolah-olah mereka itulah ‘tuhan’ kita. Bukan begitu?”
soalan retorik terakhir daripada aku, mungkin. Jam di tangan membuatkan aku
sedikit kaget. Sudah jam sembilan.
Air nescafe yang berbaki di
dalam cawan Ajai habis dihirup. Kami sama-sama bangun membayar air yang
diminum, secawan seorang (selama 30 minit!). Kami bersalaman dan berpisah arah.
Aku ke kelas General Surgery, dan dia pula tergesa-gesa ke kelas Gynecology
yang bangunannya sedikit jauh dari kedai tadi. Sambil melangkah, akal aku ligat
memikirkan seputar topik yang dibualkan tadi. Macam berbual dengan orang
sekular pula. Tapi takkanlah Ajai sekular? Benarkah negara sekular lebih baik?
Aku pernah juga mendengar bahawa muslim yang berada di negara sekular lebih
aman dan selesa mengamalkan kepercayaan yang mereka anuti berbanding di negara
Islam. Betapa ironi, orang Islam sendiri merasa terkongkong di ‘negara Islam’.
Tapi, itu mungkin berita lama. Jika dilihat berita-berita antarabangsa, Islamophobia
semakin menjadi-jadi, ditambah pula dengan pencalonan Donald Trump oleh Parti
Republikan yang sangat agresif dengan Muslim. Entahlah. Dunia ini aneh bagiku.
****
“Aaaaahhhhhhhh…” tanganku menutup
mulutku yang menguap besar. Satu konklusi ringkas bagaimana kelas tadi
berjalan. Padat dan tepu. Bukanlah aku tidak menggemari Surgery, tetapi
hatiku masih lagi merindui Internal Medicine, subjek tahun lalu.
“Din, jom makan!” jerit temanku
dari belakang. Hassan, hobinya memang makan saja. Mujur dia rajin memasak di
rumah. Sengihnya itu meruntun hatiku. Dalam kantuk dan separa terpaksa, aku
bersetuju.
Sebagai seorang yang menetap di Zagazig,
kami jarang menikmati krib. Krib, atau ejaan yang lebih tepat - crepe,
adalah antara makanan yang sangat terkenal di Zagazig. Selalunya aku hanya akan
ke kedai Krib King apabila membawa tetamu yang datang dari serata pelosok
Mesir, dan mengidam krib yang mantap dan tebal. Di Kaherah misalnya, bukanlah
tiada krib. Tetapi jika hendak dibandingkan dengan krib di Zagazig, maaflah,
tiada taranya!
Entah mengapa selera si Hassan ini
mahu ke restoran Krib King di tengah bandar. Mungkin kerana kedai tersebut
kebetulan berada di laluan perjalanan pulang kami ke rumah, mungkin juga kerana
dia sudah terlalu lapar dan krib menjamin kepantasan dan kekenyangan.
Sesampainya di sana, aku terlihat Ajai yang sedang duduk seorang diri di Kedai
Krib yang sepi dari pelanggan. Kotak rokok dan telefon bimbitnya di atas meja. Kedai
makan begini kebiasaannya dipenuhi orang pada waktu malam.
Aku menyapa Ajai sambil Hassan
memberi pesanan makanan di kaunter. “Kenapa jauh sangat kau datang makan ni?”
soalku sambil menarik kerusi untuk duduk.
“Tiba-tiba mengidam hari ni.
Kebetulan kelas habis awal tadi. Aku pun berjalanlah ke sini,” ujar Ajai
bersahaja.
Hassan dengan sengih lebarnya
mampir ke meja kami. “Kau buat apa di sini? Tak pernah pula aku nampak kau
makan di sini,” soal Hassan pula.
“Eh, dah perut aku kata nak makan
krib, maka ke marilah kaki aku berjalan,” Hassan hanya menggaru kepala
mendengar jawapan si Ajai. Sengihnya masih tak lekang.
“Jai,” Ajai menoleh dan memandang
ke arahku. “Aku masih menunggu jawapan kau pagi tadi.”
“Jawapan apa?” dahinya berkerut.
“Ish kau ni. Pagi tadi, kau
berhujah seolah-olah mempersetujui apa yang dikatakan oleh Aristotle, tentang
menjadi seorang manusia yang baik. Lalu aku persoalkan pula apakah kayu ukur
kebaikan untuk manusia yang baik itu? Ingat?” Ajai hanya menggaru-garu dagunya.
“Apa yang kalian bualkan?” tiba-tiba
Hassan menyampuk.
Ajai menjelaskan kepada Hassan, “Good citizen dan good man. Kau
pernah dengar? Aristotle memisahkan dua jenis kebaikan, satunya pada
warganegara, iaitu warganegara yang baik
atau sempurna. Yang kedua, pada manusia atau individu itu sendiri; manusia yang
baik.”
Hassan mengangguk perlahan sambil
dahinya berkerut. “Jadi apa bezanya?”
“Begini. Warganegara yang baik adalah
warganegara yang taat dan patuh setia pada suatu negara, biar apa pun polisinya
dan mematuhi segala peraturannya.”
“Tapi kalau negara tu
teruk?” sampuk Hassan.
“Maka kepada yang buruklah tumpah
setianya. Tetapi itu bukan satu masalah. Kerana yang dilihat dalam warganegara
yang sempurna adalah taat setianya, bukan moral atau nilai peribadinya. Jadi,
warganegara yang baik pada satu-satu negara, tidak semestinya diterima pula di
negara lain. Mengerti?”
Hassan mengangguk lagi. “Mengerti,
mengerti. Macam Indonesia pula kau ni,” jenakanya dibalas siku oleh Ajai.
Hassan mengaduh lalu ketawa kecil.
Sambung Ajai lagi, “Berbeza pula
dengan manusia yang baik. Manusia yang baik bukan hanya taat pada negara,
tetapi punya kebaikan yang sebenar di dalam dirinya. Manusia yang berlaku adil,
dan menjalankan tugas yang baik sebagai individu atau sebagai sebahagian dari
masyarakat yang didiaminya. Kata Aristotle, kebaikan sejati ini atau ‘virtue’
bukanlah lakonan, tetapi perangai kebiasaan, dalam menjalani kehidupan
sehariannya sebagaimana fitrahnya. Persamaan pada keduanya hanya ada jika
mereka ditadbir oleh kerajaan yang baik, maka keduanya akan taat dan itu
dianggap baik.”
“Di sini aku kurang mengerti,” aku
mencelah pula. Penekanan pada kalimah ‘mengerti’ memecahkan tawa mereka berdua.
“Apakah sifat kebaikan sejati bagi Aristotle? Bukankah para filasuf seperti
mereka ini hanya menganggap signifikan agama sebagai suatu struktur masyarakat semata?
Kalau seperti yang kau katakan sebelum ini, kita menggunakan undang-undang yang
mencakupi kebaikan dari semua pihak dan dipersetujui oleh majoriti, bagaimana
pula kalau majoriti tersebut memilih suatu kemudaratan? Sebagai contoh, adakah
kerana majoriti di barat percaya bahawa golongan transgender benar kerana
mereka layak untuk bersuara dan punya hak ke atas jasad masing-masing, maka
kita semua harus terima bahawa transgender bukanlah satu bentuk kezaliman?
Bagaimana kalau suatu hari nanti mereka menganggap pedophilia bukan lagi
satu jenayah?”
“Er, kezaliman? Kepada siapa mereka
berlaku zalim?” soal Hassan.
“Kepada diri mereka sendiri,” jawapanku
ringkas. Semua diam.
“Nah, di dalam Islam, perkara
sebegini akan dipersoalkan. Kerana Islam tidak membenarkan kezaliman, biarpun
terhadap diri sendiri. Berbeza dengan perangai Barat yang tidak malu meminum
arak dan membunuh diri.”
“Jadi, kau tak bersetuju bahawa
kita harus memisahkan pengaruh agama Islam di dalam sistem pemerintahan dan
undang-undang negara kita, walaupun ada bukti menunjukkan negara sekular lebih
aman dari negara yang menjadikan agama sebagai paksi negaranya?” soal Ajai
kepadaku. Hassan terlopong kecil kerana baru memahami konteks perbualan kami.
Krib Ajai akhirnya tiba bersama
pesanan kami. Tangan Hassan perlahan-lahan ke tengah meja, mencapai krib
miliknya. “Aku makan dulu, ya,” ujarnya sambil tersengih.
Aku dan Ajai membiarkan dahulu krib
kami tersadai di atas meja. “Ya, masyarakat dunia sekarang memang skeptik
dengan agama, dan bukan Islam sahaja. Tetapi ada beza kesan sekularisasi
terhadap agama lain dan agama Islam. Kita yang menganut agama Islam ini bukan
sekadar menjadikan agama Islam sebagai upacara, keramaian dan perayaan pada
waktu-waktu tertentu semata, tetapi Islam adalah cara hidup. Dan itu bermakna
tiada konteks dalam kehidupan seorang muslim yang tiada disentuh dalam Islam,
termasuklah ekonomi dan politik. Aku percaya, dengan agama, kita bukan sahaja
boleh menjadi manusia yang baik, malah menjadi hamba yang sempurna. Kerana
apalah gunanya ketaatan dan kebaikan kita kepada manusia jika akhirnya tidak
disandarkan pada sebenar-benar Pencipta?”
Hassan masih asyik mengunyah.
Tetapi aku tahu, dia masih lagi mengambil perhatian dengan perbualan kami.
“Tapi masih ada orang baik beragama
yang lahir dari negara sekular. Contohnya seperti seorang kaya bernama Rachid
Nekkaz. Dia membayar saman yang dikenakan terhadap wanita yang memakai Burqa di
khalayak awam di Perancis. Dia bukanlah menentang dasar Perancis itu kerana
membela agamanya, tetapi kerana undang-undang tersebut telah merosakkan
kebebasan individu yang sepatutnya dimiliki oleh semua pihak. Nah, manusia yang
baik boleh saja lahir dari suasana sekular, bukan?”
Sambil membuka aluminium yang
membaluti krib, giliran aku pula menjawab, “Aku tak pernah nafikan bahawa
sistem sekular boleh melahirkan manusia yang baik.” Hujung krib aku jamah
sedikit, dikunyah dan ditelan. “Pertamanya, Rachid Nekkaz yang kau sebut tadi,
ada spekulasi yang timbul oleh beberapa pihak akan kepentingannya di sebalik sifat
pemurahnya itu. Ini aku baca dari satu artikel oleh The Washington Post.
Menurut artikel tersebut, Agnes De Feo, seorang pengkaji dan pembikin
dokumentari mengenai isu Burqa di Perancis sejak sembilan tahun lalu
mengatakan bahawa walaupun Rachid benar-benar membayar saman-saman tersebut
pada mulanya, tetapi dia terkenal sebagai seorang yang tidak menepati janjinya.
Ini dibuktikan dengan keluhan oleh beberapa kenalannya yang cuba menghubungi
Rachid untuk menolong mereka membayar saman tetapi tidak berbalas. Bagi De Feo,
Rachid hanyalah seorang usahawan yang mencari pengaruh dan populariti. Ini
selari pula dengan sejarahnya yang pernah ingin bertanding sebagai calon Presiden
pada tahun 2007 dan gagal. Apabila manusia tidak sandarkan kebaikannya pada
tuhan, maka kebaikannya disandarkan pada dirinya. Atau lebih betul lagi, untuk
kepentingan diri sendiri. Ini bagi aku kepincangan utama dalam humanisme.
Percaya manusia akan berbuat baik biarpun tanpa agama, sekadar teori indah yang
sukar terlaksana.”
Aku sambung lagi, “Kedua, nilai
kebaikan yang dibawa oleh individu sekular datang dari moral yang digariskan
oleh masyarakat setempat. Sebagai contoh, apabila duduk sambil menyilang kaki
di Mesir dianggap biadap, tetapi kalau di Malaysia, tiada masalah. Membuka
kawasan yang dianggap aurat di sini, satu kebiadapan, tetapi tidak di barat,
kan? Berbeza dengan Islam. Kebaikan yang dibawa oleh seorang muslim digariskan
oleh tuhan. Kita berpandukan Al-Quran dan Sunnah nabi. Panduan berakhlak mulia
datang dari tuhan, dan diajarkan kepada kita melalui nabi, bukan oleh sembarangan
manusia yang boleh dikawal oleh nafsu dan ketamakan semata.”
Kami berhenti berhujah dan
masing-masing mula menjamah krib di depan mata. Hassan yang sudah lama
mendahului kami akhirnya telah menghabiskan kribnya. Dia bangun menuju ke peti
ais dan mengeluarkan sebotol air mineral bersaiz kecil dari peti berpintu
lutsinar itu. Dia duduk kembali di meja dan membuka lalu meneguknya perlahan.
“Secara ringkas, aku lebih rela
berdepan dengan masalah seperti ‘penunggang’ agama dan membiarkan orang
beragama yang lain selesa mengamalkan kepercayaan masing-masing, berbanding
mencarik agama dari sebahagian cara hidup mereka. Lama kelamaan, carik yang
sedikit itu akan membesar, dan akhirnya agama akan ditolak secara sepenuhnya.
Agama bukanlah boleh diterima separuh-separuh, seperti firman tuhan yang
maksudnya lebih kurang begini,
“Wahai
orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama Islam secara menyeluruh,
dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu
musuh bagi kamu yang terang nyata.”
2:208
Maka tak mungkin kita ingin mengaku muslim dalam masa yang
sama cuba memisahkan mana-mana aspek sekalipun dalam kehidupan kita dari
Islam,” ujarku panjang.
Ajai
dan Hassan mengangguk-angguk bersetuju. “Guys, janganlah serius sangat.
Bulan merdeka ni,” Hassan cuba menceriakan suasana.
“Merdekakah
kita? Bebaskah rakyat Malaysia dari hutang? Kemiskinan? Bebaskah kerajaan kita
dari salah guna kuasa? Rasuah? Bebaskah penganut agama lain untuk mengamalkan
kepercayaan masing-masing dengan aman? Bebaskah negara kita dari sentimen
perkauman? Berapa banyak anak yatim dan miskin di Malaysia yang tidak mendapat
pendidikan yang sempurna?” aku cuba mencetus provokasi. Ajai tergelak kerana
menyedari persoalan yang sama telah ditujukan kepada aku pagi tadi.
Lalu
kerana kasihankan Hassan yang terpinga-pinga tidak tahu mahu menjawab apa, aku
menjawab sendiri, “Merdeka, bagi aku adalah satu proses yang belum habis. Titik
mulanya pada 31 Ogos 59 tahun yang lalu adalah satu permulaan yang bagus. Kita
keluar dari cengkaman penjajah. Untuk tidak mengambil kesempatan atas pengorbanan
pejuang kemerdekaan kita, banyak lagi jenis kemerdekaan yang perlu kita capai.
Lihat generasi ayah mak kita. Mereka berjaya memecahkan tembok sekularisasi
barat dan mula menapakkan semula Islam di dalam sanubari masyarakat. Bertudung
tidak lagi aneh di Malaysia. Kadar kefahaman Islam dalam masyarakat sedikit
demi sedikit meningkat. Dari satu perspektif, ya, kita sering bertelingkah
tentang hal-hal ranting dalam agama. Tetapi secara tidak langsung itu
menunjukkan bahawa kita mengambil serius dan sentiasa cakna dengan kepercayaan
yang kita anuti. Malah bagi aku, kemerdekaan jiwa itulah yang paling penting
kita kejari. Apabila kita mengenal diri dan tuhan, maka kita mengenal hakikat
penciptaan kita. Kita insaf akan tanggungjawab kita. Kita faham akan fitrah
diri kita. Dan apabila kita bebas dari kejahilan dan kemungkaran, bagi aku, ya,
kita merdeka.”
Hassan dan Ajai mengangguk
bersetuju. Krib yang berbaki habis dijamah. Perut kenyang, hati senang. Fikiran
juga lapang. Ah, mujur saja tiada lagi soalan provokasi daripada Ajai. Cukuplah
untuk sehari ‘perdebatan’ kami.
Seusai makan, kami beransur pulang
ke rumah masing-masing. Kami bersalaman dan Hassan sempat lagi berjenaka dengan
Ajai. Kami berpisah menuju arah bertentangan. Aku dan Hassan berjalan malas-malas
menuju ke rumah kami. Biarlah makanan di perut dapat dihadam perlahan-lahan.
Hassan
menyiku aku perlahan. “Ajai tu peliklah. Dia sekular ke? Lain macam,” soal
Hassan. Aku ketawa. Ada-ada saja budak ni.
“Ajai
seorang yang suka mencabar minda. Kalau aku kata ‘A’ dia akan tanya aku,
mengapa tidak ‘B’? Biar kita berprinsip bukan ikut-ikutan semata. Hah, Kalau
kau nak dicabar lagi, jom berpagi-pagi dengan kami. Mahu pening kau dibuatnya
dengan si Ajai tu.” Hasan menyengih saja.
“Tapi, tak. Dia bukanlah sekular. Kau belum cukup kenal dia.”
Hassan
mengangguk saja. Semoga dia berminat untuk menyertai aktiviti ‘berpagi-pagian’
kami esok. Sengihnya masih juga belum lekang.
No comments:
Post a Comment