Akbar dan kawan-kawan bertemu. Lama benar mereka tidak berjumpa sebegini. Semua sudah punya jalan hidup tersendiri. Semua punya cecita yang ingin dikejari.
“Assalamualaikum,” sapa Syed yang tiba lambat. Dia tersengih-sengih dan agak gopoh-gapah. Biasalah dia. Memang begitu. Sudah tiga tahun, dan dia kekal begitu.
Semua hanya tersenyum. Akbar berdiri menyambut sahabat mereka itu. Semua sudah bertamu. Dia sebagai tuan rumah sungguh-sungguh syukur. Dalam mereka menuju ke meja jepun itu, mereka yang lain menjawab, “kuwayyis.”
Maklumlah, mereka kan belajar di luar negara. Mana pakai bahasa arab fushah. Nampak sangat baru belajar bahasa arab.
Akbar menyelak langsir rumah. Cahaya matahari yang terik di luar seakan berlumba masuk ke dalam ruangan itu. Habib berpesan, “Akbar, ini baru Malaysia. Enta belum rasa Mesir lagi.” Yang lain angguk-angguk. Habib senyum. Bangga barangkali.
Ibu Akbar masuk ke ruangan itu. Habib yang sedikit gempal memberikan ruang supaya Mak Cik Limah bisa bolos ke tengah ruangan itu. Dia meletakkan dulang yang berisi dengan cawan itu segera, dan menjemput mereka semua minum. Dia bergegas ke dapur pula untuk menyediakan makanan, setelah menghadiahi tetamu-tetamu anaknya seulas senyuman.
“Kau tahu,” kata Hairi, “hidup di Madinah lain dari hidup di sini. Mereka mewah. Malah, kami juga mewah. Itulah berkatnya hidup di tanah nabi,” ulasnya panjang. Akbar mengangguk-angguk. Yang lain hanya diam. Akbar perasan Syed sedikit mencebik.
Habib mencicip bibirnya di gelas kaca. Akbar yang baru sudah menghidang air kepada sahabat-sahabatnya, duduk semula. Syed meletakkan gelasnya sesudah minum. “Eleh, biasalah. Ada negara yang senang, ada negara yang susah.
Akbar diam saja. Syed menyampuk, “kau orang semua tahu, Jordan pun tak kalah hebatnya. Ada salji pada musim sejuk. Tidak seperti Mesir. Salji habuk adalah.” Hairi senyum tawar. Itu hakikat Mesir. Akbar masih diam. Semuanya berbangga dengan negara masing-masing. Akbar yang hanya belajar di dalam negara, hanya memerhati.
Khairul pula menyampuk. “Ah, enta semua belum merasai nikmatnya Syria! Kalau enta semua rasa talaqqi di Mesir hebat, kami juga tak kalah, tahu. Syeikh Mustofa, salah seorang penulis kitab ‘Fiqhul Manhaji’, yang membincangkan tentang fiqh dari sudut mazhab Syafie itu menarik.tak lupa juga Al-Maududi yang terkenal dan tokoh-tokoh yang lain.” Dia meneguk air sehingga habis. “Tambahan pula, katanya ais-krim di Syria adalah yang tersedap sekali berbanding di negara-negara lain,” sambungnya lagi.
Akbar senyum saja. Malas mahu masuk campur. Ibunya masuk lagi ke ruang tamu sambil membawa dulang makanan pula. Akbar bingkas dan membuntuti ibunya ke dapur untuk menolong. Semua yang hadir tersengih suka. Nasi ayam Mak Cik Limah memang yang terbaik.
‘Diskusi’ diteruskan lagi. Habib tak mahu kalah. “Enta tahu Akbar, Syawarma di Mesirlah yang paling sedap sekali. Kebab memang kepakaran Mesir. Ada juga yang dinamakan Krib. Itu bentuknya lain pula. Ah, kalau enta ke sana, sambil-sambil makan Syawarma ataupun Krib, nikmati juga air Asob atau tebu yang segar dan sejuk!” Habib bagai ejen pelancongan pula. Akbar sekadar senyum.
“Madinah apa kurangnya,” tambah Hairi. “siapa yang tidak mahu merasai tamar nabi yang terkenal itu? Lagi pula Madinah sungguh dekat dengan Mekah. Setiap hujung minggu aku akan mengerjakan umrah, ataupun menziarahi makam nabi. Betapa berkatnya hidup aku. Kau orang kurang berkatnya. Setakat Mesir yang ada Makam Imam Syafie, makam Husin, Imam Hassan Al-Bannda, juga Salahuddin Al-Ayubi, apalah mereka nak dibandingkan dengan nabi yang maksum?” panjang lebar dia menerangkan.
Syed tidak mahu kalah. ‘Perjuangannya’ takkan terhenti di situ sahaja. Dia menambah, “Alah, Jordan pun tanah para nabi juga. Akbar, kelak kau habis Darul Quran nanti, marilah ke Jordan. Kau tak lihat ke betapa banyaknya ulamak-ulamak yang lahir dari Jordan? Al-Azhar dah lapuklah. Ustaz Zaharuddin, Ustaz Hasrizal mahupun Ustaz Zahazan, bukan semuanya dari Jordan? Kan hebat-hebat belaka semuanya itu? Ah, lagi, penulis terkenal juga belajar di situ. Kau tahu kan Hilal Aysraf pelajar di Yarmouk?” Akbar mengangguk lagi. Dia tahu semua fakta itu.
“Alah, Syed. Setakat novelis. Kau tak tahu ke, Mesir juga ada penulis? Kalau tidak, mana lahirnya ‘Ayat-Ayat Cinta’, dan ‘Ketika Cinta Bertasbih’ itu? Itu baru yang Indonesia, bagaimana pula dengan novelis Malaysia, Siti Munirah Abdul Rashid, penulis ‘Qasidah Untuk Kekasih’? Nah, apa kau rasa Mesir tidak hebat?” Syed menjuihkan bibir. Habib seakan menang. Mulutnya terus mengunyah.
“Mesir hebat,” Hairi menyindir. “Mesir hebat, ya? Alah, pelajar-pelajar Mesir ramai yang leka ‘bermain’ dengan persatuan. Sokong sana, sokong sini, bermain politik saja tahu. Kalian ke Mesir untuk belajar atau bermain politik sesama kalian sendiri?” pedas sekali sindiran itu. Tambahan pula, Habib antara orang kuat di sana.
Habib yang berang mula membalas. Usai menghabisi sisa makanan di dalam mulut, dia berkata, “enta, Madinah, lagi bahaya! Boleh jadik enta sudah menjadi salah seorang dari Wahabi jahanam itu!” yang lain tersentak. Akbar mendamaikan.
“Sudah, sudah. Kalian semua belajar di tempat yang hebat-hebat. Tak perlulah bergaduh. Tengok pada ana. Setakat belajar di dalam negara saja. Kalian patut bersyukur,” butir-butir kata itu sedikit sebanyak mententeramkan keadaan semula.
“Jadi, Akbar, enta rasa Negara mana yang paling hebat?” soal Khairul. Akbar meletakkan cawannya di atas meja. Dia memandang semua. “Semua hebat, Khairul. Oh ya, Al-Maududi yang enta katakana tu, bukan ke di India? Dan, ana rasa ana tak mahu ke luar negara, takut leka tidak belajar dengan apa yang entum sebut tadi. Jadi, baik ana duduk di Malaysia, fokus pada belajar, dan membawa manfaat pada ummah kita, tak begitu ustaz semua?”
Khali seribu bahasa. Semua terkena paku buah keras.
1 comment:
jom pergi india !!!
Post a Comment