Pages

Mar 14, 2016

Krib A La Bangla



Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari kuliah, dengan cuaca terik menggigit kulit sawo matang seorang lelaki melayu yang walaupun sudah hampir lima tahun di sini, tetapi masih belum ‘alah bisa tegal biasa’ dengan suhu sebegini, kering sebegini, Krib Syahd pasti berjaya mencairkan hati aku supaya bersabar. Bersabar dan beralah dengan Negara ini. Krib is love. Krib is life.
Amboi bukan main mempromosi Krib. Apakah dia menatang Krib ni? Mungkin ejaan sebegini asing buat sesetengah kalian, tapi bagaimana pula dengan crepe? Ya, rata-rata rakyat Malaysia pasti akan tergiur dengan crepe durian. Krib dan crepe durian kalian itu, samalah. Semuanya dari rumpun Crepe yang sama. Kedua-duanya bukan yang asli. Dan keduanya berbeza. Yang sama hanya pada kulit luarnya, tetapi cara penyediaannya berbeza. Kalau crepe durian, kulitnya lembut, mudah dicarik. Intinya pula serapuh awan, campuran rasa vanilla dan durian, rasa lunak yang membuatkan kita menutup mata menikmatinya. Aduh, sedap sungguh membayangkan! Mana pulak nak dapat durian di negeri firaun ni. Yang tidak gemar pada crepe durian ini hanyalah mereka yang tidak suka durian. tapi mereka terlalu sikit. Rata-rata rakyat Malaysia adalah hantu durian.
Bagaimana pula Krib di sini? Ya, Krib dari Mesir amat berbeza teksturnya. Perbezaannya jauh ketara umpama Iron Man dan Batman. Ha, boleh bayang? Kedua-duanya adalah ‘superhero’ kegemaran, tetapi hadir dari franchise komik yang berbeza. Kalau tak boleh bayang jugak, suka hatilah.



YANG NAMANYA KRIB ITU BAGAIMANA YA?

Baik, cuba kau bayangkan kulit crepe durian tu, kita ambil, kemudian kita panaskan di atas pan. Kulit yang asalnya bulat, lebar, nipis dan leper itu kemudian dilipat dua. Warna kuning terang itu sedikit demi sedikit menjadi makin terang dan semakin garing. Sambil menunggu kulit itu menjadi garing dan rangup, keju mozarela akan ditaburkan di atas kulit yang rupanya separuh bulat itu. Intinya tidak berakhir di situ. Bayangkan, betul-betul bayangkan, segala jenis nugget dan burger yang korang boleh bayangkan. Goreng sehingga masak. Kemudian anda potong-potongkan nugget dan burger yang sedang dibayang tadi, kemudian taruk di atas keju mozarela tadi. Aduh, kecur air liur membayangkan. Kemudian, ambil pula sos dan mayonis, dan pastikan keduanya rata, tidak terlalu banyak juga tidak terlalu sikit untuk menambah lagi kemantapan Krib ini. Jika kulitnya sudah mula nampak garing, lipat Krib tersebut menjadi tiga segi leper. Bukan bentuk kon, jenuh nak makan, tapi segi tiga.
Bayangkan, pulang ke rumah, bau kaki yang menerpa dari stokin yang rabak di kaki, kita pecat stokin tersebut, buka kipas sehingga pusingan terlaju, duduk bersandar dan satu gigitan besar pada Krib tadi. Ya rabbi, rasanya zolim. Dan bayangkan, dalam satu-satu mesir ni, kau berada di Zagazig, tempat yang paling masyhur dengan Krib. Yang lagi best, kau beli pula dari kedai paling sedap di Zagazig. Bayangkan, itu yang kau gigit tadi. Satu pengalaman Manca-rasa paling gila dan merangsang segala deria di lidah.
“Maka nikmat tuhanmu yang mana yang telah engkau dustakan?”

Tu dia. Punya sedap, sampai boleh bertambah iman! (Amin, insya-Allah.)


*mengunyah-ngunyah.


Masa makan, tak elok bercakap.
*Lap mulut dan sambung.

Berbeza sungguh interpretasi mereka yang pernah berada di Mesir dengan rakyat Malaysia yang lain tentang Crepe, atau Krib. Dan keduanya betul. Crepe, sebenarnya yang terpenting adalah kulit luarnya. Tidak kiralah dimasak rangup, atau dikekalkan lembut. Itulah crepe yang paling ori.
Setelah beberapa kali aku menikmati Krib, ada persoalan yang mampir ke fikiranku. “Kenapa tak ada langsung orang buat Krib macam ni kat Malaysia?” dan aku yakin, Krib jenis ini pasti mendapat sambutan, lagi-lagi kalau buka satu tapak di pasar malam. Fuh, orang tak pandang dah kebab. Boleh setaraf dengan ayam Uncle Bob, kalau pandai marketing.
Tapi, andai kata kita tahu secara teori bagaimana proses membuat Krib tersebut, akan samakah hasilnya? Atau tangan arab ada ‘rahasia’ tersendiri? Mana tahu Krib bertambah sedap kerana peluh arab, seperti kuah capati yang lazat terkena percikan peluh mamak. Umph.
Tapi andai kata Krib sampai ke Malaysia sekalipun, entah-entah bangla yang buat. Semalas itulah melayu. ‘Krib a la Bangla’. Catchy.
Sebelum ni, aku pernah terdengar cerita dari seorang kenalan. Dia membeli nasi lemak di tepi jalan sebelum pergi bekerja. Nasi lemak itu disediakan oleh bangla, juga dijual oleh seorang yang berbangsa Bangladesh. Boleh tahan hebat geng bangla ni, dari jadi pak jaga, cuci tandas, sehinggalah ke nasi lemak, mereka dah mampu dan terbukti boleh buat.
Hurm. Fikir-fikir semula, rasanya cerita nasi lemak tu aku baca di Facebook kot. Jadi, kesahihannya diragui. Perawi tak sikoh. Heh.
Apapun, kedatangan ‘tetamu’ seperti mereka di Malaysia dijadikan bahan jenaka, dipolitikkan juga dirasakan sebagai suatu ancaman. “Bangla rampas awek melayu”, “Semua kerja bangla dah sapu”, “Kincin buleh, ‘vara’ tak bulih” dan bermacam-macam lagi.



TERASING

“Ni hau?” soal mereka sambil ketawa mengejek. Bagi mereka, semua sama aja. Asia bermaksud cina. Jackie Chan. ‘Ni hau ma’, malah, lebih kelakar lagi pun ada, seperti ‘Hungga Bungga’,’Buya-Buya’, juga ‘Hakuna Matata’. Pengalaman sewaktu mula-mula menjejakkan kaki di Mesir ada waktunya menyulitkan. Waktu di mana banyak mata-mata asing melihat menerobos senyuman paksa yang kau buat-buat. Ada kalanya ketika melihat kehadiran kau, mereka berbisik-bisik lalu ketawa. Mereka menganggap kita mundur. Primitif. Terima kasih pada segala iklan ‘Malaysia truly Asia’ yang menggambarkan negara kita hijau dan sarat dengan hutan-hutan terpelihara. Pada mereka, kita hidup seperti Tarzan.
Mereka tidak peduli sekiranya pandangan mereka salah. Kadang kala pandangan mereka mengecilkan, memperlekehkan, dan seolah-olah jelek dengan kita. Ada juga mata yang teruja kerana jarang melihat jenis manusia dari rumpun lain. Kasihan. Mereka benar-benar terasing dari dunia moden.
Orang Malaysia juga memandang arab dengan pandangan begitu. Penuh prejudis. Masakan tidak, persatuan pelajar di sini memomokkan kepada pelajar Malaysia bahawa arab ini tidak boleh dipercayai dan jangan berkawan terlalu rapat dengan mereka. Membawa arab ke rumah, wah, satu taboo (sekarang, tak pasti. Rumah atas aku ni, siap sorang arab ni lepak berhari-hari sampai bagi hint suruh balik pun tak faham). Bagi orang Malaysia di sini, arab juga hina. Sudahlah pengotor, tiada adab, tiada peraturan. Jalan yang tiga line boleh jadi sehingga lima line. Suka memotong barisan. Ah, kalau mahu disenaraikan, tak habis pula.
Kami dibutakan dari kebaikan rakyat Mesir. Ada waktunya, kita akan bertemu dengan manusia paling baik. Lebih baik dari diri kita yang konon mulia ni. Ada yang berkeras tak mahu tambang kita, ada yang menghulurkan makanan, ada yang menghulurkan bantuan tanpa dipinta, malah ada yang mengutuk rakyat Mesir sendiri. Itu belum lagi mahu dikira mereka yang mendoakan kita.
Tetapi perasaan terasing lebih menguasai. Ke mana saja kau pergi, ada mata yang melihat kau dengan pandangan aneh. Kalau kau bernasib baik, adalah suara yang menegur kau elok.
“Assalamualaikum. Enta Maliziy? Masya-Allah. Ahsan nas. Munawwar fi Masr.”
Assalamualaikum. Kau orang Malaysia? Masya-Allah. Sebaik-baik manusia. Kalian adalah cahaya di Mesir ini.”

Aku yakin, semua mereka yang pernah bermastautin di Mesir, akan diuji dengan perangai manusia paling susah kau nak handle. Tapi aku juga boleh jamin, mereka akan jumpa manusia baik yang nadir itu. Dan aku pasti mereka juga, akan mendengar ayat sebegini. Cahaya di Mesir tu. Kemain.

Begitu juga dengan saudara kita bergelar ‘bangla’. Jenaka kasar kita, penghinaan malah pandangan serong kita kepada mereka pastinya mengguris hati. Di sebalik muka Hindustan, kulit gelap itu, mereka juga ada hati. Dan mungkin juga hati mereka seperti tisu. Ingat lelaki jambu saja ke yang boleh ada hati tisu? Mana tahu bangla pun sama?
Ke hati tisu pulak dah. Bukan itu isunya.
Bangla itu, tolak ke tepilah statusnya di negara kita. Pendatang asing, atau agenda politik atau apa saja kata paranoia kita, mereka adalah muslim, pertama-tamanya. Seharusnya warna kulit dan status kewarganegaraan tidak memisahkan kita. Bagaimana layanan kita kepada mereka? Adakah semasa membeli kuih karipap di pasar malam (siapa beli karipap? Tak grand langsung pergi pasar malam beli karipap. Beli lah karipap di gerai tepi jalan waktu pagi. Mungkin dia beli karipap besar penumbuk tu kot.) mereka ini didiskriminasi dan dilayan terkemudian, walaupun mereka yang hadir lebih awal? Adakah semasa hari raya, mereka dihadiahkan senyuman ikhlas, serta ucapan lebaran yang menggembirakan beserta doa, untuk mereka yang bekerja ketika hari raya, jauh di perantauan? Diskriminasi servis dan layanan terhadap mereka, tidak ada beza dengan pandangan serong rakyat Mesir kepada rakyat Malaysia.
Ego kita mungkin cuba menyangkal fakta ini. Tidak mengapa. Hanya kita dan tuhan yang tahu dosa tersembunyi kita, niat tak baik kita. Mungkin kau yang belum berada di tempat kami tidak merasakan hal ini, tapi andai kata yang membaca ini pernah merasakan hal yang sama, pernah belajar di Mesir contohnya, maka ambillah inisiatif untuk berubah. Tukarkan niat kita. Pandang mereka dan sentiasa bersangka baik, walaupun mungkin kadang-kadang servis mereka teruk. Mungkin mereka tidak mengerti. Mungkin saja mereka tidak biasa dengan persekitaran di Malaysia. Persekitaran yang berbeza memang membebankan.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah muallaf bertakrif Melayu

(petikan dari sajak ‘Melayu’ oleh Usman Awang)

Aku tidaklah demand kau anggap bangla sebagai melayu. Cukuplah kau layan mereka seperti saudara seislam, seperti manusia. Jangan merasakan diri kita ini cukup hebat hanya kerana ini tanah kita.

Krib yang paling terkenal di Zagazig dahulu adalah ‘Krib King’. Tetapi zaman berlalu, harganya semakin mahal, isinya semakin sedikit, maka aku dan rakan-rakan mencari alternatif yang lebih baik. Krib Syahd memang  something else. Inti banyak, murah, walaupun sedikit lambat, tetapi berbaloi. Tu belum lagi Krib Goma3a. Padu.

Begitu juga kita. Sombong berlagak tidak akan menjamin masa depan kita. Mudah saja tuhan nak ganti kita dengan kaum yang lebih baik, yang mampu menjaga syariat Allah, yang melayani orang-orang beriman dengan lembut. Tak percaya, buka terjemahan Al-Quran surah Al-Maidah, ayat 54.


*tulisan ini ditulis lama dahulu, tetapi lupa nak diterbitkan di sini. nah. pada aku masih ada manfaatnya untuk dikongsikan.