Pages

Oct 23, 2014

Ulasan buku Bagaimana Anyss Naik Ke Langit?

Assalamualaikum.



Serasa lama benar (cewah. serasa-serasa pulak) tak baca karya Faisal Tehrani. buku Perempuan Nan Bercinta dan Ketupat Cinta belum sempat dibaca. Semua bagi pinjam pada orang.

Setelah lama tidak mendengar khabar, akhirnya Faisal Tehrani tampil dengan karya barunya (tapi taklah baru sangat. aku je yang baru baca).

Buku setebal 12 halaman, berjudul Bagaimana Anyss Naik ke Langit ini adalah satu karyanya yang ringkas, straight to the point tetapi dalam masa yang sama kekal dengan gaya penulisannya.

sebab buku ni baru je habis baca tadi masa tunggu nak buat passport, maka ulasan kali ini mungkin agak terperinci. So, siapa yang nak baca dan taknak spoiler, sila jangan baca.

seriously.




Ok jom. Hoyeah!

Ok seperti biasa, saya suka kategorikan ulasan buku kepada tiga perkara utama,
1.Bahasa
2. Jalan cerita
3. Isi/nilai murni



Gaya Bahasa

 1. Ini adalah kali pertama saya membaca karya beliau yang menggunakan bahasa yang cukup 'dewasa' tanpa berlapik dan berselindung. Saya kira ini adalah gaya bahasa yang ingin ditampilkan dalam karyanya yang satu ini, berbaur 'ekstrem'. Penggunaan kata yang dianggap lucah oleh masyarakat kita ini tidaklah digunakan terlalu kerap, tetapi sering digunakan ketika menceritakan tentang bagaimana gadis-gadis Penan itu dirogol. Sungguh terperinci.

Walaubagaimanapun, saya merasakan bahawa gaya bahasa sebegitu sepatutnya tidaklah menimbulkan rasa syahwat ataupun jelek, tetapi lebih kepada perasaan geram, dengan sang pemerkosa. Geram dan terkilan. Rasa kasihan mengacau jiwa seolah-olah mahu membuat kita berhenti membaca, tetapi tidak boleh kerana rasa geram juga meluap-luap.

Mungkin kerana gaya bahasanya yang agak bold sebegini menyebabkan beliau menerbitkan karyanya di DuBook Press. hehe.

2. Seringkali di dalam cerita ini, Anyss (watak utama), terngiang-ngian pesan rakan-rakannya bahawa beliau menjadi sasaran. Pengulangan sebegini juga pernah saya lihat di dalam buku Tuhan Manusia, karyanya yang diterbitkan pada tahun 2009, juga pada buku Hlovate, Contengan Jalanan yang mengingatkan berkali-kali, mereka yang bertangguh untuk berubah, tidak akan sempat untuk berubah (ayat sebenar dalam bahasa inggeris).

Pengulangan sebegini kadang boleh menimbulkan perasaan menyampah pada saya (sebagai pembaca).
"Yeee aku tau ko nak tekankan point ni~" atau
"Tak habis-habis nak ulang. takde point dah ke?"
Ayat-ayat sebegini sering juga datang di dalam benak, terutamanya ketika saya membaca Contengan Jalanan. Annoyed pulak rasa.

Tetapi tidak begitu pada karyanya yang satu ini. Pengulangan demi pengulangan yang dilakukan adalah untuk menekankan bahawa kata-kata itu terngiang-ngiang tidak sudah-sudah di kepala Anyss.
Tetapi bagaimana Faisal Tehrani menyelitkannya di dalam cerita berulang-ulang kali, dengan ayat yang berbeza, dalam situasi yang berbeza adalah sesuatu yang mengagumkan. Artistik. Mungkin antara faktornya adalah kebolehan beliau yang menguasai bahasa Melayu dengan baik.

3. Dalam karya ini juga, Faisal Tehrani kerap menggunakan bahasa pinjaman, contohnya 'interbiu', walhal beliau adalah seorang yang menguasai kosa kata bahasa melayu sastera yang hebat. Lihat sahaja karya-karya beliau yang menggunakan bahasa melayu klasik. Gila kentang. Dalam masa yang sama, penggunaan bahasa melayu beliau juga tidak terabai, dengan adanya penggunaan istilah-istilah sastera yang mencantikkan ayat-ayat di dalam cerita ini. Ini menunjukkan bahawa penulis adalah seorang yang sangat versatil (see what I did there?).

Pada pendapat saya, penggunaan bahasa pinjaman sebegini adalah salah satu cara berbahasa yang mungkin tiada keasliannya, tetapi jika pandai digunakan, boleh saja mengindahkan lagi ayat yang kita gunakan. Saya sendiri sebenarnya kurang gemar menggunakannya, tetapi setelah melihat Faisal Tehrani yang acap kali menggunakannya (seperti 'Advencer si Peniup Ney), maka mungkin selepas ini saya akan cuba membiasakan diri, tanpa mengabaikan kosa kata yang asal.

4. Novel ini tiada bab. Hanya satu cerita yang berterusan, diselitkan dengan monolog dalaman serta buah fiiran Anyss yang menerawang mengenangkan isu yang sedang dia perjuangkan.

Jalan Cerita

1. Faisal Tehrani adalah seorang yang sangat menekankan peranan latar dalam satu-satu cerita. Dengan penceritaan latar, karyanya tampak 'hidup'. Dalam buku yang hanya setebal 112 muka surat ini, apalah sangat yang boleh diceritakan, kan?

Tetapi penulis bukanlah seorang penulis amatur. Latar tempat watak utama yang digunakan hanya satu, iaitu di Beijing. Dan keratan-keratan akhbar (yang menguasai separuh dari buku ini) pula menggunakan latar hutan di Sarawak. Dua latar ini menghiasi cerita dengan secukupnya, tidak kurang dan tidak pula berlebihan.

Lihat saja bagaimana terperincinya penceritaan penulis tentang Beijing. Seolah-olah kita membontoti watak utama ketika Anyss bersiar-siar melancong di sana. Fakta-fakta yang dilontar pula tidaklah terlalu berat untuk dihadam, dan sedap dibaca.

Penggunaan bahasa kaum Penan juga membantu pembaca menggambarkan lagi bagaimana suasana kampung mereka di dalam hutan di Sarawak. Seperti biasa, setiap karya yang ditulis akan sarat dengan perincian sebegini.

Ini adalah salah satu kelebihan Faisal Tehrani yang sukar untuk dikuasai oleh penulis-penulis lain. Ada yang cuba meniru penceritaan sebegini, tetapi sering sahaja fakta-fakta yang diberikan kering dan tidak menggiurkan.

2. Jelas sekali di dalam novel ini, jalan cerita tidak ditekankan. Yang lebih penting adalah isu yang ingin diketengahkan. Bagaimana wanita-wanita Penan dirogol. Bagaimana tenatnya hutan di Sarawak. Bagaimana bangsatnya ahli politik dan pihak berkuasa yang tidak membantu mereka. Bagaimana 'lahanatnya' (ayat penulis) media massa.

Jalan cerita tidak berbelit, malah agak ringkas. Keratan-keratan akhbar yang diselitkan saja sudah memenuhi separuh dari buku ini. Penekanan pada isu yang ingin dibawa sangat serius dan membuatkan pembaca turut risau. 

3. Penulis sepertinya berulang kali cuba membuat situasi yang subtle untuk menunjukkan siapa antagonis cerita ini. Tetapi oleh kerana perbuatan aneh sebegitu disebutkan (seperti jelingan tajam, dan pemandu yang tidak mesra seolah-olah ada yang tidak kena), menampakkan siapa sebenarnya dia. Perkara sebegini sudah selalu saya lihat, terutama dalam buku-buku yang cuba meletakkan unsur thriller, tetapi tidak berjaya. Agaknya memang susah nak buat klu sebegitu dalam bentuk penulisan.

4. Jalan cerita agak tergantung. Mungkin akan ada pembaca yang tidak berpuas hati, tetapi bagi saya itu pengakhiran yang kena pada tempatnya. Pertama, ini kisah Anyss. Mati Anyss, maka tamatlah cerita. Kedua, kematiannya yang mendadak begitu di kala isu ini belum tamat diperjuangkan, menunjukkan bahawa isu ini masih berlaku. Malah, anaknya pula yang akan menyambung perjuangannya. Pembaca juga saya kira turut merasa tanggungjawab yang ingin diletakkan atas pundak kita supaya lebih prihatin atas isu ini



Isi/Nilai Murni

Antara isu yang ingin diketengahkan oleh penulis dalam cerita ini adalah:

1. Pemerkosaan gadis-gadis Penan (saya rasa persoalan ini timbul sekitar tahun 2008). Usai membaca karya ini, saya masih tidak sempat mengkaji adakah isu ini benar-benar terjadi. Tetapi keratan-keratan akhbar yang diselitkan (macam betul je petikan-petikan tu) menguatkan lagi bahawa peristiwa ini berlaku. Yang merunsingkan, pihak-pihak berkuasa menafikan sekeras-kerasnya apa yang berlaku (setakat pembacaan saya). Ini selari dengan tulisan penulis, yang membawa kepada poin kedua:

2. Penglibatan penguasa negeri dan orang penting dengan pembalakan yang berleluasa di hutan sekitar Sarawak. Pembalakan, seperti yang ramai maklum, walaupun membawa keuntungan kepada negara, tetapi tidaklah banyak. Ini kerana, duit-duit hasil pembalakan dimonopoli oleh pembalak-pembalak, dan tidak dipulangkan kepada kaum-kaum asli di Sarawak (seperti yang diceritakan di dalam buku ini).

Bukan itu saja, pembalakan juga memang membawa keburukan yang banyak. Hasil-hasil hutan dieksploitasi sesuka hati, menyebabkan gangguan ekosistem flora dan fauna yang membawa kepada kekurangan sumber pendapatan dan makanan bagi kaum yang menetap di situ. Air-air sungai juga menjadi keruh dan mencemarkan sumber air penduduk tempatan. Semua ini adalah pengorbanan yang terpaksa dihadapi oleh penduduk tempatan dek kerana kerasukan seorang dua manusia.

3. Isu-isu hak asasi kritikal sebegini jarang sekali diketengahkan oleh sesiapa, lebih-lebih lagi dalam bentuk penulisan kreatif begini. Tetapi yang menariknya, isu alam sekitar dan orang asli pernah disebut di dalam tulisan Kak Munirah, dalam salah satu cerpennya yang dihimpunkan di dalam Kopi-ah (tak ingat nama cerpennya apa). Juga, Kak Munirah dalam novel sulungnya pernah menceritakan tentang Beijing, juga secara terperinci. Cuma mungkin penggunaan bahasa dan gaya penceritaan membezakan kedua penulis ini.



Kesimpulan

Buku ini walaupun nipis, tetapi ceritanya tidak 'mentah', malah disajikan sempurna untuk pembaca. Saya yang sememangnya menggemari karya Faisal Tehrani, berasa lega kerana berjaya mendapatkan buku ini, serta menghabiskannya dalam tempoh sehari.

Dari sudut cerita, penulis tampak seolah-olah bereksperimen dengan gaya penulisannya yang lain dari kebiasaan. Bahasa yang agresif, gaya penceritaan tanpa bab, juga keratan-keratan akhbar yang amat banyak, tetapi tidak mencacatkan karya ini.

Dari sudut isu yang diketengahkan, penulis memang sering cuba menaikkan isu yang dilihat agak terpencil dalam masyarakat. Tiada unsur-unsur 'syiah', ataupun jalan cerita yang berbelit-belit, seakan-akan menyuruh para pembaca agar turut cakna akan isu yang dibawa.

Siapa yang patut baca buku ini?
-Penggemar karya Faisal Tehrani
-Mereka yang mahu berjinak-jinak dengan karya Faisal Tehrani
-Mereka yang mahu cakna dengan isu alam sekitar
-Mereka yang mahu cakna dan memperjuangkan hak asasi manusia, lebih-lebih lagi hak asasi wanita.

Oh satu lagi. Bak kata penulis, bukan isu Palestina saja yang boleh bawa kita ke syurga.


Fuh sejam menaip.
Cukup la kot.

Kalau korang dah baca dan nak komen, silakan.

Kalau korang nak baca tapi korang dah baca ulasan ni, ha padan muka. aku dah kata jangan baca lagi ulasan ni. Degil. Anak sapa ni?



nah hashtag siket!

#IWantToTouch ABook
#KMZ



*kalau rajin, cuba padankan buku ini dengan satu lagi karya, Bahlut. Juga tulisan Faisal Tehrani.

Oct 12, 2014

Buku Indie & Masyarakat

Assalamualaikum~



Dalam menyentuh topik ni, moleklah kiranya saya kategorikan pembaca kepada tiga bahagian; penggemar buku indie, yang tak tahu buku indie tu apa dan yang benci pada buku indie.

saya pernah berjumpa dengan ketiga-tiga jenis manusia ini.



Kategori Satu

yang pertama, penggemar buku indie, tidaklah susah untuk dicari. lambakan buku indie dan pembacanya boleh dikatakan satu gelombang baru dalam masyarakat majmuk malaysia. mungkin tidak digebangkan seperti isu-isu politik selangor, bajet 2015, tetapi gelombang baru ini sebenarnya agak besar.

ada beberapa persoalan yang timbul. Antaranya, kenapa mereka memilih buku indie? dan bagaimana buku indie sebegini boleh laris?

saya sendiri tidaklah membaca begitu banyak buku indie, kerana saya peminat sastera dan buku-buku indie selalunya tidak begitu menekankan unsur itu.

sebahagian koleksi buku indie aku. tengkiu Lejen Press~


tetapi saya mempunyai koleksi buku indie yang agak banyak, juga saya sendiri pernah menulis dan diterbitkan oleh publisher indie. tapi tidaklah laku mana. Jadi, tulisan saya ini tidaklah bias untuk membela penerbit-penerbit ini atas alasan ada antara mereka yang pernah menerbitkan tulisan saya. Walaupun Lejen Press menerbitkan tulisan saya, sebelum itu, DuBook Press pernah menolak tulisan saya atas alasan tidak kena dengan genre mereka (tapi lepas tu ada La Adri, DIAgnosis bagai. tapi tak kisahlah).

alamak dah melalut.

dalam 5,6 buah buku indie yang telah saya baca, hampir setiap karya mempunyai kelainan (yang layak dipuji) tersendiri. Dan itulah kelebihan buku-buku indie. Akrab dengan masyarakat. Unsur humor. Tidak berat. Dan yang paling penting, lain dari yang lain.

Setakat ini, kita tidak akan jumpa buku-buku novel chenta tipikal yang berlonggok di pasaran, diterbitkan oleh geng indie ini. Eh. Tak juga. Ada, tetapi sangat sedikit.
Anda juga tidak akan menemui buku-buku agama dengan kulit berkilat mewah bercorak islamik yang cantik dihias di atas meja rumah atau di almari kita. Tidak. Tetapi rupa kulit buku-buku indie menarik dengan gaya tersendiri. Lebih sesuai dengan jiwa muda.

Kenapa pembaca memilih buku indie?
Pertama, kulit bukunya saja sudah menarik perhatian. Tidak nampak mewah, tetapi menarik.
Kedua, isinya yang ringan. Sesuai dihidangkan bersama pisang goreng atau dibaca begitu sahaja di dalam kenderaan awam.
Ketiga, jalan ceritanya yang tidak klise. Cerita mengenai penjara, cerita penderitaan, kritikan terhadap sistem pendidikan negara, dan berbagai jenis lagi. Mungkin pembaca sudah muak dengan cerita chenta yang bersepah-sepah di kedai buku. Bak kata kawan aku, "rasa nak bakar je tengok buku-buku ni".



Kategori Dua

Ada diantara kawan-kawan saya yang tidak tahu menahu apa itu buku indie. Contohnya, geng-geng ABIM Mesir. Bukan mereka saja. Banyak lagi. Mereka bukan tidak endah tentang trend dalam belia, tetapi mereka ini selalunya terlalu ghairah membaca buku-buku kritikal. Bacaan ruji mereka adalah berbentuk ideologi, esei, kritikan sosial atau mungkin yang paling ringan sekali adalah biografi figura dan tokoh hebat kontemporari.

Mereka tidak pernah mendengar/membaca buku indie bukan kerana mereka tidak suka, simply because itu bukan bahan bacaan mereka. Kalau mereka baca novel ringan, mereka boleh tertidur. Malah, mungkin membaca separuh jalan, dan berhenti selama-lamanya. Jika ditanya, penulis kegemaran mereka mungkin Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Ust. Siddiq Fadzil, dan mungkin yang paling cikai adalah Faisal Tehrani (bukan sebab beliau cikai, tapi sebab geng ni tak baca sangat buku cerita).

Golongan ini bagi saya adalah golongan advance. Mereka tidak lagi menyentuh komik, mahupun buku yang ringan-ringan.  Sedikit kelemahan yang mungkin patut ditegur adalah mereka juga perlu cuba mengenal jiwa masyarakat kebanyakan dengan membaca karya yang ringan sebegini. Inilah luahan anak muda. Inilah corak pemikiran mereka. Andai ada yang menyimpang, maka anda tahu mereka salahnya di mana.

 koleksi buku di Klasika Media

buku macam ni je diorang sentuh


Walaupun mereka tidak membaca buku indie, mereka tidaklah benci. Samada mereka memang tidak pernah mendengar, mungkin juga mereka merasakan buku indie ini tidak signifikan dalam masyarakat, atau boleh saja mereka beranggapan bahawa buku indie ini punya sumbangan tersendiri dalam masyarakat.



Kategori Tiga

"Buku Indie ni meracun fikiran anak muda. Pemikiran mereka menjadi cetek. Ideologi tidak jelas. Semua benda boleh separuh jalan. Pegangan akidah goyah. Sudahlah tak bermanfaat, merosakkan pula tu".
Mungkin ini agaknya mindset golongan ketiga ini. Mereka cukup anti pada buku indie.


tak mahu komen panjang.



Status buku Indie dalam masyarakat

Buku indie ini boleh dikira agak baru dalam industri buku. Mungkin buku indie ini betul punya kekurangan, tetapi untuk menafikan bahawa mereka juga membaca unsur positif adalah tidak patut.

Kebanyakan orang mula membaca dengan komik. Anak-anak Sidek, Doraemon, Shin Chan, Chibi Maruko Chan dan bermacam-macam lagi. Tak kurang juga yang membaca majalah seperti Ujang dan Gempak. Jika difikirkan, buku seperti ini tidaklah begitu berfaedah kepada masyarakat. Malah, ramai pula pembacanya. Tetapi sedikit demi sedikit, yang membaca Doraemon mula membaca Novel. Yang membaca Ujang mula membaca Solusi. Dan begitulah seterusnya.
Adakah ianya satu kepastian bahawa mereka yang membaca buku indie akan upgrade pembacaan mereka kepada pembacaan yang lebih serius? Tidak, tetapi kita boleh berharap.
Malah, ramai juga mereka yang membaca buku-buku membina, merehatkan minda dengan membaca buku-buku ringan sebegini. Sekali sekala ketawa kan bagus juga.

Mungkin buku-buku indie tidak kaya dengan karya yang berunsur sastera, mahupun kritikal, tetapi mereka juga menyumbang. Ramai anak muda yang sudah hilang minat membaca, kini kembali membaca. Kalau dalam buku yang kita kata merepek ini, penulis meletakkan secebis ilmu, maka pembacanya secara tidak langsung juga telah mengutip secebis ilmu tersebut. Ini lebih baik berbanding generasi yang hanya melekapkan muka mereka pada gajet-gajet canggih sekarang.

Dalam industri buku Malaysia sekarang, sudah ada kategori baru. Dulu kita ada komik, majalah, akhbar, buku cerita (novel mahupun kumpulan cerpen), biografi dan buku kritikal. Sekarang kita ada buku indie. Atas sikit dari komik. Mungkin itu tangga baharu yang perlu ada supaya masyarakat kembali bertatih membaca.

Tambahan pula (macam karangan Bahasa Malaysia pulak), banyak juga buku indie yang bagus. Kita ada Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang, kita juga ada La Adri, juga Pedagogi Bahasa Tertindas dan mungkin banyak lagi.

Penerbit buku mainstream seharusnya tidak memandang enteng penerbit buku indie, malah mengambil iktibar. Kalau kalian sebagai penulis merasakan bahawa buku indie ini tidak banyak manfaatnya, maka silakan tulis karya yang menarik juga bermanfaat dan sila hantar manuskrip anda ke penerbit-penerbit ini. Banyak bunyi, usaha tak ada, tak guna juga.

Kepada para penggemar buku, mungkin buku indie bukanlah kategori kegemaran anda. Tidak mengapa. Bacalah buku mengikut kegemaran masing-masing. Jangan pula dicela buku orang lain.
Mungkin buku yang kita baca lebih ilmiah, tetapi mereka yang membaca buku yang lebih ringan itu lebih mulia. Yelah, baca buku ilmiah sikit dah berlagak hebat. Tak ke riak dan ujub namanya tu?


Akhir sekali, baik baca buku indie, komik, dari tidak membaca langsung.
Majulah industri buku untuk negara.
#KMZ

nah baca x-ray kalau dah malas sangat nak baca buku.

luls.